Apa yang kita tahu dari perbicaraan Najib berhubung SRC International


Bede Hong

Najib Razak kini bakal berdepan beberapa lagi pertuduhan berkenaan salah laku rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mei, 2019.

MELEWATI minggu kedua perbicaraan Najib Razak berhubung SRC International, seorang saksi pendakwaan memberi keterangan bahawa Najib Razak menandatangani dokumen meluluskan permohonan pinjaman sebanyak RM3.95 bilion oleh SRC International daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

Amirul Imran Ahmat yang merupakan pembantu naib presiden KWAP memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa surat itu bertarikh 3 Jun 2011.

Amirul memberi keterangan bahawa KWAP kemudiannya menerima arahan daripada SRC International bahawa wang tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun syarikat SRC International kerana ia telah mendapat sokongan kerajaan melalui 1Malaysia Development Bhd.

Beliau berkata KWAP juga menerima surat daripada Kementerian Kewangan mengenai jaminan kerajaan sebanyak RM2 bilion selama 10 tahun.

KWAP kemudian memindahkan RM2 bilion ke dalam akaun syarikat SRC International melalui empat transaksi bernilai RM500 juta pada 29 Ogos 2011.

KWAP membuat satu lagi pemindahan sebanyak RM2 bilion kepada akaun SRC International yang lain pada 28 Mac 2012.

Daripada RM4 bilion yang disalurkan ke akaun SRC International, RM42 juta dimasukkan ke dalam akaun bank Najib.

Najib menghadapi tiga pertuduhan jenayah pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan penyalahgunaan kuasa ke atas dana itu.

Seorang pegawai kanan Unit Perancang Ekonomi (EPU) juga memberitahu mahkamah minggu lalu bahawa 1MDB telah meminta bantuan sebanyak RM3 bilion untuk memulakan operasi SRC International pada tahun 2010, namun sebaliknya hanya mendapat RM20 juta.

SRC International mencadangkan untuk menggunakan RM3 bilion bagi meneroka kepentingan strategik dalam bidang sumber utama, seperti arang batu, besi, minyak dan gas serta uranium bagi tenaga beberapa loji janakuasa.

Bekas Ketua Pengarah EPU, Kamariah Noruddin berkata, RM20 juta telah diluluskan untuk meneroka arang batu dan uranium.

Beliau juga menyifatkan cadangan tersebut datang daripada Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan ia kemudian diberitahu kepada Najib sebagai janggal kerana datang dari sebuah syarikat dan bukannya sebuah kementerian, dan EPU hanya berurusan dengan permohonan kementerian.

Semasa pemeriksaan balas, peguam bela Muhammad Shafee Abdullah mendesak Kamariah untuk bersetuju dengannya bahawa cadangan RM3 bilion bukanlah idea bodoh, tetapi cadangan yang serius.

Kamariah kemudian memberitahu mahkamah bahawa geran sebanyak RM3 bilion adalah berasaskan dokumen tiga muka surat dan EPU akan akan dianggap cuai kerana meluluskannya kerana jumlah itu mewakili 7% daripada belanjawan pembangunan negara sebanyak RM42 bilion

Pendakwa juga mendedahkan bahawa Najib memperoleh gaji bulanan sebelum cukai sebanyak RM78,451.64 dari 2015 sehingga tahun lepas, sebagai ahli Parlimen dan perdana menteri.

Zarina Yusuf, timbalan ketua akauntan di Jabatan Perdana Menteri, juga mendedahkan bahawa Putrajaya mengurniakan pembayaran khas sebanyak RM1 juta kepada Najib, sebagai perdana menteri pada Mei 2018.

Pengurus AmBank R Uma Devi, yang dipanggil untuk memberi keterangan sebanyak empat kali, juga mengesahkan pada hari Isnin bahawa akaun peribadi Najib menerima RM2.6 bilion antara 2011 dan 2013.

Peguambela defendan tetap mengatakan bahawa sebahagian daripada wang itu adalah sumbangan dari Putera Faisal bin Turki dari Arab Saudi dan beberapa usahasama dengan Blackstone Asia Real Estate Partners.

Perbicaraan berterusan pada hari Isnin. – 5 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen