RAKYAT Malaysia tidak boleh membiarkan tugas memerangi politik perkauman dan agama kepada ahli politik sahaja, tetapi setiap orang mesti bertanggungjawab untuk membincangkan isu-isu seumpama itu, kata Menteri Kerja Raya Baru Bian.
Sebagai ahli politik, Baru Bian mengatakan kerja dan perbuatan mereka akan sentiasa ditafsirkan bagi meraih keuntungan politik, oleh kerana itu, adalah penting bagi pemimpin masyarakat sivil dan rakyat Malaysia secara umumnya mengambil tanggungjawab menentang retorik perkauman dan agama.
“Kalau hanya kami, maka sangat sukar kerana orang akan melihatnya sebagai langkah politik sahaja,” kata Baru dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight menjelang ulang tahun pertama Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan.
“Pemimpin kami dari Semenanjung Malaysia mesti bercakap dengan jelas, dan menunjukkan teladan dan bertindak balas terhadap isu-isu ini. NGO dan rakyat Malaysia secara umumnya harus menentang perkauman.”
Berasal dari Sarawak, Baru berkata beliau hanya perlu berurusan dengan isu hak adat orang asli (NCR) sebelum dilantik sebagai menteri Kabinet.
Beliau berkata walaupun aktif dalam politik sejak beberapa dekad lalu, isu perkauman dan agama dalam politik di Semenanjung Malaysia adalah sesuatu yang baru kepadanya.
“Ini satu perkara yang menyedihkan. Tetapi kita perlu lebih tegas dalam penguatkuasaan undang-undang. Ada orang-orang tertentu yang melampau dan ketika ia terjadi, kita harus tegas dalam mengambil tindakan,” kata peguam berusia 60 tahun itu.
Baru berkata meskipun menurun dalam tinjauan penerimaan, Pakatan Harapan tetap melakukan yang terbaik dalam mentadbir negara mengikut prinsip yang dipercayai mereka sebagai halatuju menuju ke hadapan.
“Salah satu perkara yang perlu kita perhatikan adalah ramai daripada kita baru dalam Kabinet dan tadbir urus. Tetapi satu perkara yang sangat penting ialah keikhlasan kami dalam melakukan yang terbaik untuk meletakkan semula negara di landasan yang betul. Itu perkara yang sangat asas.
“Untuk membaik pulih negara yang telah diperintah oleh satu parti selama 61 tahun adalah tidak mudah.
“Kami sedar akan segala cabaran dan kami melakukan yang terbaik. Kami tidak boleh melakukannya dengan lebih baik,” kata Ahli Parlimen Selangau itu.
Baru menyatakan bahawa sebahagian besar rakan-rakan kabinetnya pernah menjadi pembangkang dan sering mengkritik kerajaan.
“Saya mendengar bahawa pada hari pertama bekerja, penerimaan untuk sesetengah rakan saya nampak agak bermusuhan. Saya bernasib baik kerana saya diterima dengan baik kerana kebanyakan karier saya di Sarawak. “
Selain memerangi peningkatan politik perkauman dan agama, cabaran terbesar Pakatan Harapan adalah bagaimana untuk memulihkan ekonomi.
Walaupun gabungan baru pentadbiran itu telah “melakukan banyak perkara” untuk memperbaharui institusi utama, cabaran terbesar adalah untuk mereformasi ekonomi kerana kebimbangan utama rakyat adalah mengenai keperluan asas dan kos sara hidup.
Mengenai peranan kementeriannya dalam meningkatkan ekonomi dan pekerjaan dalam negeri, Baru berkata kebangkitan projek infrastruktur utama seperti lebuh raya Pan-Borneo dan Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang disokong oleh China akan menjadi kunci dalam mewujudkan pekerjaan.
“Kita perlu menangani hal ini supaya orang ramai melihat perubahan sebenar dan memberi kesan kepada mereka dalam jangka pendek. Untuk melihat ekonomi bergerak tidak mudah tetapi saya percaya sektor pembinaan adalah salah satu pemain utama untuk mewujudkan pekerjaan.
“Pada asasnya, ekonomi mesti bertambah baik kerana ia memberi kesan kepada orang secara langsung,” katanya. – 6 Mei, 2019.
Komen