Indonesia tenggelamkan bot ceroboh perairannya


Lebih 12 bot ditenggelamkan berhampiran Puntianak di wilayah Kalimantan barat, semalam. – Gambar EPA, 5 Mei, 2019.

INDONESIA mula menenggelamkan berpuluh-puluh bot asing yang ditahan untuk membanteras aktiviti menangkap ikan secara haram di perairannya, seminggu selepas sebuah kapal tentera laut bertembung dengan pengawal pantai Vietnam berhampiran Laut China Selatan.

Sejumlah 51 bot asing termasuk dari Vietnam, Malaysia dan China akan ditenggelamkan di beberapa lokasi berbeza sepanjang dua minggu ini, kata pihak berkuasa.

Lebih 12 bot ditenggelamkan berhampiran Puntianak di wilayah Kalimantan barat, semalam.

Menteri Perikatan Susi Pudjiastuti berkata tindakan itu perlu bagi memberi amaran kepada negara berjiran bahawa Indonesia amat serius dalam memerangi aktiviti menangkap ikan secara haram.

“Tiada cara lain. Ini sebenarnya penyelesaian paling indah bagi negara kami, tetapi ya, ia menakutkan untuk negara lain.”

Beliau berkata Indonesia mengalami kerugian besar akibat peraturan yang longgar hingga menyebabkan bot asing menangkap ikan di perairan Indonesia.

Sejak Presiden Joko Widodo dipilih pada 2014, ratusan kapal pancing asing yang dirampas, ditenggelamkan – lebih separuh daripadanya dari Vietnam.

Amalan itu ditangguhkan beberapa bulan, tetapi dimulakan semula sejak minggu lalu apabila bot pengawal pantai Vietnam melanggar kapal tentera laut Indonesia ketika cuba merampas sebuah kapal pukat tunda haram.

Berpuluh-puluh nelayan ditahan dan masih dalam tahanan Indonesia. – AFP, 5 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen