Ah Keong OKU Jiwa Kental


Zainal Rashid Ahmad

AH KEONG (1970-2011) dilahirkan dengan mengalami masalah pertumbuhan tulang. Kesannya, ketika berusia lapan tahun, tulang kakinya bengkok kerana tidak mampu menampung berat badan.

Kecacatan tulang menyebabkan Ah Keong mengalami masalah tumbesar. Ketika berusia 11 tahun, dia tidak mampu berjalan.

Membesar dalam keluarga miskin bersama ibunya dan tinggal di kampung Melayu, menyebabkan 90% jiran dan kawan-kawannya budak Melayu. Malah, dia popular di kampung Jalan Lumpur Alor Setar, Kedah.

Pada 1995, saya memilih Ah Keong sebagai subjek khas ketika menerbitkan dokumentari pendek berdurasi 15 minit. Penerbitan eksklusif dengan menggunakan khidmat jurukamera dan pengarah videografi terkenal Ireland, Ian Flemming.

Dokumentari terbitan 1996 ini antara memoir awal Unit Ehwal Semasa, Jabatan Berita Astro ketika mula ditubuhkan. Kisah Ah Keong disiarkan melalui Astro Ria, satu-satunya saluran berbahasa Melayu ketika stesen TV Satelit itu mula bersiaran di negara ini.

Apa istimewa Ah Keong? Begini kisahnya.

Walaupun cacat, Ah Keong usahawan berdikari dan caranya mencari rezeki sangat unik dan berani. Dia akan bersampan sepanjang Sungai Kedah dari Kampung Telok Yan hingga ke Tambang Badak, Kanchut. Kira-kira 10km mengikut jalur sungai yang berbelok-belok.

Ah Keong akan mengutip buah kelapa yang luruh di sungai dan dihanyutkan arus. Kelapa dikumpulkan dalam sampan yang dikayuhnya. Setiap pagi selama tiga jam di sungai, selalunya dia berjaya memungut antara 15 ke 30 biji kepala sehari.

Tanpa baju keselamatan dan hanya mengengsot sendirian tanpa dibantu, dia akan menyusur pelantar sungai lalu masuk ke dalam sampan. Malah, Ah Keong tidak takut menghadapi suasana gelap Sungai Kedah yang diredahnya seawal 6 pagi.

Selain mengutip kelapa, dia turut memungut tin minuman dan botol plastik yang dibawa arus. Sambil berkayuh, dia juga memasang tajuk (kail tradisional) untuk menangkap ikan kalui. Malah, memasang bubu memukat udang galah.

Buah kelapa dijual kepada penduduk, tin dan botol dikumpul sebelum dipungut lori agen, manakala udang galah dan ikan kalui sudah ada pelanggan tetap. Itu rezeki sungai buat Ah Keong.

Di darat, di depan laman rumahnya yang lapang, Ah Keong turut menjadi peraih tin dan botol minuman. Juga membeli sisa kecil besi buruk. Usaha ini bermula pada usia 13 tahun. Rezeki yang berbaloi kerana 12 tahun kemudian, perniagaannya berkembang dan dia mampu membina rumah yang lebih baik untuk ibunya.

Ketika berusia 30 tahun, dia menerima projek dari Lembaga Pertubuhan Peladang Kedah untuk menyiapkan tali pengikat hidung lembu ternakan. Kerja tenunan yang turut menyediakan peluang pekerjaan sambilan pada remaja di Kampung Jalan Lumpur.

Ah Keong dilahirkan pada 1970 dan hanya mampu menamatkan pendidikan di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Keat Hwa, Seberang Perak, Alor Setar. Kecacatan dan kemiskinan tidak mengizinkan bersekolah menengah.

Ketika rakaman dokumentari dibuat, dia berusia 26 tahun dan sudah berprofil usahawan. Pada masa yang sama, kesihatan jantungnya mula terganggu kerana masalah saiz badan yang membesar tetapi kaki dan tangannya terlalu kecil.

Hasil sungai, urus niaga tin dan botol plastik dan kontrak tenunan tali lembu, memberikan anak muda ini pendapatan bersih sekitar RM3,500 ribu sebulan secara purata.

Saya mengenang Ah Keong sebagai rakan permainan, jiran sekampung, kawan baik dan idola. Ketika hasil pendapatan di darat sudah sukses, dia masih berkayuh tiga kali seminggu merentas sungai setiap awal pagi.

“Aku mula cari makan di sungai sejak umur 13 tahun. Mana boleh lupakan sungai,” katanya.

Flemming, jurukamera saya sangat kagum. Seorang jurukamera yang sudah berpengalaman bekerja dengan pelbagai topik menarik di seluruh bersama rangkaian National Geographic turut mengakui – Ah Keong simbol sejagat.

Empat hari menjalankan penggambaran ketika itu dan selepas 12 tahun saya tidak menemuinya kerana merantau ke Kuala Lumpur, rakaman itu kekal antara hasil kerja TV yang saya anggap bermutu.

Walaupun selama 25 tahun saya terus menghasilkan dan mengendalikan lebih seribu jam kandungan TV, dan memenangi tujuh award utama termasuk tiga award Festival Filem Malaysia, kisah Ah Keong tetap kekal antara subjek pesona yang sangat mengesankan.

Tahun depan 2020, genap sedekad Malaysia meratifikasi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Hak Asasi Golongan Kurang Upaya (OKU) sejak 2010.

Walaupun pelbagai usaha dilaksanakan untuk memperkasakan golongan OKU, pencapaiannya belum boleh dibanggakan. Ini komen banyak pihak.

Namun, saya tetap mengingati Ah Keong. Walaupun rakan baik, jiran dan idola saya sudah meninggal dunia lapan tahun lalu – memori kegigihan hidupnya satu gambaran pengajaran. Perjuangan hidup hanya milik manusia yang kental jiwanya.

Ah Keong adalah simbol kejayaan bagi OKU. Selamat hayatnya dia tidak menerima sebarang bantuan. Malah, tidak memohon apa pun bantuan. Walaupun tidak mampu berjalan dan tubuhnya kerdil kerana masalah kecacatan tulang.

Tapi hatinya kental dan jiwanya besar! – 5 Mei, 2019.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen