Orang Melayu belum rasa mereka sebahagian Malaysia baharu


Nabihah Hamid

Dalam menghadapi isu kebimbangan orang Melayu dan Islam, PH perlu bijaksana menghuraikan dengan baik dan mengasingkan antara fakta dan mitos. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mei, 2019.

ORANG Melayu dan Islam belum lagi merasakan mereka sebahagian era Malaysia baharu yang sedang dibentuk oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas dipilih rakyat setahun yang lalu, kata aktivis politik Eekmal Ahmad.

Ini menyebabkan segala yang orang Melayu pendamkan selama ini – daripada cita-cita sosioekonomi yang tidak sampai sehinggalah kepada isu yang mengguris hati – terbuku dalam satu perasaan bahawa orang Melayu dan Islam kini terpinggir dan dibuli, katanya.

“Melayu tidak merasakan mereka sebahagian daripada Malaysia baharu. Melayu juga dihujani persepsi seolah-olahnya kita ini ‘low class’, perkauman, Melayu korup, Melayu malas.

“Maka keterpendaman itu terkumpul, jadi orang Melayu merasakan mereka terpinggir dan dibuli,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Eekmal yang juga pegawai dasar kepada menteri besar Selangor mengulas keadaan politik Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-14 yang menyaksikan orang Melayu menganggap kepentingan mereka dan Islam terancam di bawah pentadbiran PH.

Katanya, dalam menghadapi isu kebimbangan orang Melayu dan Islam, PH perlu bijaksana menghuraikan dengan baik dan mengasingkan antara fakta dan mitos.

Beliau memberikan contoh bagaimana PH dituduh meminggirkan Islam sedangkan peruntukan perbelanjaan baik di negeri yang dipimpin PH mahupun di Persekutuan tinggi untuk kepentingan Melayu dan Islam.

“Di Selangor belanjawannya dari RM2.5 bilion itu hampir RM700 juta untuk Melayu dan Islam. Jadi di mana Melayu dibuli?” katanya.

Semalam, ribuan orang Melayu dan Islam menyertai Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam di Kuala Lumpur yang diadakan bagi meluahkan kebimbangan mereka terhadap pelbagai isu yang berbangkit sejak setahun lalu.

Beberapa pemimpin politik dan masyarakat yang bercakap pada perhimpunan semalam membangkitkan pelbagai isu melibatkan kepentingan Melayu dan Islam, daripada soal bahasa sampailah kepada kedudukan raja-raja.

Aktivis politik Eekmal Ahmad berkata orang Melayu dan Islam masih belum merasakan mereka sebahagian era Malaysia baharu yang sedang dibentuk selepas PH membentuk kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mei, 2019.

Eekmal berkata dalam menghadapi keterpendaman Melayu yang kini menjelma jadi penolakan terhadap kerajaan, pemimpin PH perlu bijaksana mengkritik orang Melayu agar tidak dianggap lebih meminggir dan membuli mereka.

“PH perlu lebih banyak pujuk orang Melayu daripada mengkritik orang Melayu,” katanya.

Tambah beliau, biarlah hanya Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang berleter atau keras mengkritik orang Melayu tetapi pemimpin PH yang lain mesti fokus untuk memenangi hati orang Melayu.

“Yang lain fokus pada kerja, deliver dan terus yakinkan orang Melayu.

“Kena fikir caranya, jika tidak saya bimbang akan jadi kerajaan sepenggal,” katanya.

Sementara itu, Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata kerajaan perlu berkesan menggunakan jentera komunikasinya untuk menghebahkan tindakan dan dasar kerajaan.

Katanya, salah tanggap tentang kerajaan yang subur dalam kalangan orang Melayu dan Islam antaranya ialah kerana kerajaan gagal menjelaskan apa yang ia lakukan sejak mengambil alih pentadbiran daripada Barisan Nasional (BN).

“Mitos dan persepsi tanggapan ini yang digembar-gemburkan sebagai kerajaan anti Melayu dan Islam,” katanya.

Dr Mazlan dan Eekmal baru-baru ini menyertai diskusi mengenai isu-isu Melayu dalam persoalan nasional selepas PRU14 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang juga membincangkan antara lain isu kebimbangan Melayu dan Islam terhadap PH.

“Kerajaan perlu gunakan medianya sendiri secara efektif kerana rakyat yang tak dapat maklumat. Dasar kerajaan lebih terbuka tetapi orang Melayu digambarkan sebagai ditindas.

“Adakah kerajaan ini meminda apa-apa peruntukan undang-undang mengenai orang Melayu. Adakah Perkara 153 (Perlembagaan Persekutuan) disentuh (oleh kerajaan)?” soalnya.

Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan memerihalkan kedudukan istimewa Bumiputera dalam soal kuota kemasukan ke dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam.

Mengambil contoh bantahan terhadap pelantikan bukan Melayu memegang jawatan institusi penting, Dr Mazlan menegaskan sikap orang Melayu dan Islam yang negatif terhadap PH lebih sebagai persepsi.

“Mereka kata PH tidak jaga sensitiviti. Walhal sebelum ini pernah juga peguam negara dan menteri kewangan bukan Melayu tetapi tidak berbangkit jadi isu,” katanya. – 5 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen