PRESIDEN Turki Recep Tayyip Erdogan menyokong pemilihan semula datuk bandar Istanbul yang sebelum ini dimenangi calon pembangkang utama Parti Rakyat Republikan (CHP).
Parti pemerintah pimpinan Erdogan, AKP yang hilang kerusi datuk bandar itu pada 31 Mac lalu sudah memfailkan rayuan dengan Lembaga Pilihan Raya Tinggi (YSK) Turki untuk membatalkan keputusan di Istanbul yang dianggap berlaku penyelewengan.
Selain itu AKP memohon agar sesi pemilihan baharu diadakan.
“Ada kontroversi di sini, ia jelas. Berlaku penyelewengan di sini, itu juga jelas. Tanya rakyat dan lihat apa yang mereka katakan dan apa sahaja keputusan kami akan menerimanya,” kata Erdogan.
YSK dijangka mengadakan perbincangan pada Isnin bagi mengkaji permohonan parti AKP untuk membatalkan keputusan tersebut.
Beberapa sesi kiraan semula setakat ini menunjukkan keputusan sama, menyebabkan parti CHP menggelar Erdogan sebagai pihak kalah yang sanggup melakukan apa saja bagi mengekalkan kuasa.
Jurucakap CHP Faik Oztrak berkata Erdogan perlu berhenti memberi tekanan kepada YSK.
“Tiada penyelewengan atau salah guna kuasa,” katanya. – AFP, 4 Mei, 2019.
Komen