Raja Maha Vajiralongkorn ditabal sebagai Raja Thailand


Raja Maha Vajiralongkorn secara rasmi ditabalkan sebagai Raja ke-10 Dinasti Chakri yang berusia seabad dalam istiadat pertabalan yang gilang-gemilang mengikut keagamaan Hindu dan Buddha di Bangkok hari ini. – Gambar AFP, 4 Mei,2019.

RAJA Maha Vajiralongkorn secara rasmi ditabalkan sebagai Raja ke-10 Dinasti Chakri yang berusia seabad dalam istiadat pertabalan yang gilang-gemilang mengikut keagamaan Hindu dan Buddha di Bangkok hari ini. 

Acara pertabalan selama tiga hari bermula hari ini pada jam 10.09 pagi (waktu tempatan) di Kediaman Diraja Chakrabat Biman di Istana Besar di Bangkok.

Raja Vajiralongkorn yang diiringi Permaisuri Suthida berangkat tiba di istana Besar pada jam 10 pagi. 

Istiadat yang bersejarah dan yang pertama dalam tujuh dekad itu bermula dengan Upacara Penyucian Diraja yang juga dikenali sebagai “Song Muratha Bhisek.” 

Baginda yang memakai jubah putih, duduk di bawah pancutan air yang diambil dari 77 wilayah di negara itu yang disucikan oleh sami-sami Buddha. Air suci itu kemudian disiram perlahan ke kepala baginda.

Serentak itu,  Pengawal Diraja melepaskan tembakan di perkarangan Diraja - Sanam Luang, dekat Istana Besar semasa upacara penyucian berlangsung. 

Sami tertinggi Buddha juga menyiram air suci ke tubuh baginda diikuti oleh sami-sami Brahmin dan anggota kerabat diraja.

Kemudian, Raja Vajiralongkorn duduk di atas singgah-sana ukiran kayu untuk menerima air suci daripada pegawai-pegawai terpilih termasuk Perdana Menteri Jen Prayuth Chan-o-cha dan presiden Majlis Privy Jen Prem Tinsulanonda.

Baginda seterusnya berangkat ke the Balairung Seri Bhadrapitha untuk upacara pemakaian mahkota. 

Baginda duduk di bawah payung diraja berwarna putih dan Ketua sami Brahmin mempersembaghkan Plak Emas Diraja kepada baginda yang mengandungi nama , gelaran dan horoskop serta mohor diraja serta alat-alat kebesaran diraja. – Bernama, 4 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen