KERAJAAN Syria menuduh para pemimpin Kurdi melakukan “pengkhianatan” kerana menganjurkan satu persidangan dengan kabilah-kabilah Arab untuk merancang masa depan wilayah itu di bawah kawalan gabungan politik mereka.
Kurdi dan sekutu Arabnya menguasai kawasan yang luas di utara dan timur laut yang membentuk sekitar satu pertiga wilayah Syria, yang kebanyakannya ditawan dalam kempen melawan kumpulan Daesh.
Damsyik kini menuntut bahawa kawasan yang ditawan semula oleh Kurdi dikembalikan kepada kawalan kerajaan pusat.
Pasukan Kurdi yang kini dilihat lemah akibat keputusan Washington yang mengeluarkan sebahagian besar pasukannya berikutan kekalahan Daesh pada bulan Mac, menyebabkan perikatan yang dipimpin oleh Kurdi itu kini mula berunding dengan Damsyik.
Bagaimanapun, pemimpinnya bertekad untuk tidak menerima penyerahan yang dirunding mengenai “perjanjian perdamaian” seperti yang dikenakan oleh Damsyik terhadap pelbagai kumpulan pemberontak.
Berikutan itu, pemimpin Kurdi pada hari Jumaat mengadakan persidangan dengan beberapa kabilah Arab untuk mendapatkan sokongan mereka.
Agensi berita SANA memetik sumber Kementerian Luar menuduh penganjur persidangan yang diadakan di Ain Issa, sebagai sebuah “pengkhianatan”.
Ia mendakwa bahawa pertemuan di sebuah bandar “yang dikuasai pasukan bersenjata berpihak kepada Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah” telah berakhir dengan “kegagalan” akibat “boikot kebanyakan kabilah”.
“Perhimpunan seperti itu adalah penjelasan yang jelas mengenai pengkhianatan penganjur mereka, walau apa pun penyokong politik, etnik atau kaum mereka,” tambah sumber tersebut. – AFP, 4 Mei, 2019.
Komen