SEBUAH kapal Panama telah ditahan di pelabuhan Busan selepas didakwa melakukan pemindahan minyak dari kapal ke kapal untuk Korea Utara yang melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap Pyongyang, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap memetik kenyataan pihak berkuasa pada Sabtu.
Kapal seberat 1,014 tan itu, Katrin, disyaki memindahkan produk petroleum ke kapal Korea Utara sebanyak tiga kali mulai Julai hingga Disember, menurut Kementerian Laut dan Perikanan serta Pengawal Pantai.
Agensi pengintipan Korea Selatan dan pejabat kastam telah menjalankan pemeriksaan bersama ke sebanyak dua kali ke atas kapal itu pada bulan Februari ketika ia memasuki pelabuhan untuk penyelenggaran, yang disusuli perintah pihak berkuasa maritim serantau bagi menangguhkan waktu ia berlepas pada 15 Feb.
Pemilik Katrin, seorang rakyat Rusia, telah dilaporkan menyangkal dakwaan itu.
“Pemilik berjanji untuk bekerjasama dalam siasatan itu namun terus-terusan menangguhkan kehadiran ke Korea Selatan,” kata seorang pengawal pantai.
Lapan kapal kini ditahan di Korea Selatan setakat Sabtu kerana disyaki melanggar sekatan PBB.
Enam ditahan selepas dakwaan terhadap mereka telah dibuktikan manakala dua lagi termasuk Katrin, masih disiasat.
Dalam satu laporan tahunan, satu panel PBB menyebut bahawa Korea Utara ” terus mengingkari resolusi Majlis Keselamatan menerusi peningkatan tindakan memindahkan produk petroleum dan petroleum besar-besaran dari kapal ke kapal secara haram.” – Bernama, 4 Mei, 2019.
Komen