Israel serang balas puluhan roket dari Gaza


Tentera Israel berkata ia telah menyasarkan dua pelancar roket di Gaza dengan satu serangan sebagai tindak balas dan kereta kebal Israel pula menyasarkan beberapa pangkalan tentera Hamas, gerakan Islam yang menguasai wilayah itu. – Gambar EPA, 4 Mei, 2019.

PULUHAN roket yang dilancarkan pejuang Gaza pada hari Sabtu ke arah Israel dibalas kembali dengan serangan yang membunuh seorang warga Palestin, kata sumber rasmi.

Tindakan dari kedua-dua pihak itu menyebabkan gencatan senjata yang dimeterai sebelum ini dihentikan.

Israel berkata kira-kira 90 roket dilancarkan dari kawasan Palestin dan pertahanan udara negara itu memintasnya.

Tentera Israel berkata ia telah menyasarkan dua pelancar roket di Gaza dengan satu serangan sebagai tindak balas dan kereta kebal Israel pula menyasarkan beberapa pangkalan tentera Hamas, gerakan Islam yang menguasai wilayah itu.

Sumber keselamatan Gaza mengatakan bahawa satu siri serangan Israel disasarkan sekurang-kurangnya ke arah tiga kawasan berasingan di Semenanjung Gaza dan tiga orang pejuang cedera.

Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan seorang terbunuh dan beberapa orang lagi cedera.

Tiada kematian bagaimanapun dilaporkan di pihak Israel.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu merancang untuk mengadakan perbincangan dengan ketua-ketua keselamatan Israel, kata seorang jurucakap. – AFP, 4 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen