KEPUTUSAN Putrajaya menolak Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa kerana raja-raja Melayu tertentu menunjukkan kuasa untuk kepentingan tertentu, kata pakar perlembagaan Gurdial Singh Nijar.
“Terdapat cubaan oleh beberapa pemerintah untuk menunjukkan kuasa mereka. Mereka mahu mendapatkan semula kuasa yang hilang, sesetengah daripada mereka berada dalam bidang perniagaan dan tidak memiliki peranan efektif dalam hal pentadbiran, atau apa-apa keupayaan untuk mempengaruhi keputusan.”
Bekas profesor undang-undang Universiti Malaya itu bercakap dalam sebuah forum hari ini berhubung penarikan balik Malaysia terhadap Statut Rom.
Beliau percaya empat sarjana undang-undang yang menasihatkan Majlis Raja-Raja menentang pengesahan Statut Rom itu bukan satu kebetulan.
“Sebab itulah beberapa ahli akademik kemudiannya dicari, beberapa ahli akademik dengan kecenderungan tertentu bagi menyokong kerabat diraja,” kata presiden Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam).
Peguam Negara Tommy Thomas, pengerusi Yayasan Budi Rais Yatim dan ketua pengerusi jawatankuasa undang-undang Majlis Peguam Surendra Ananth juga turut bercakap dalam forum ‘The Rome Statute Pull-Out: Controversies and The Implications - Where Do We Go From Here?’ yang dianjurkan oleh Majlis Peguam Malaysia.
Gurdial berkata saranan daripada peguam negara seharusnya menjadi suara yang harus dipertimbangkan secara lebih serius.
“Peguam negara adalah orang yang harus memberi nasihat kepada raja, kerana beliau adalah pemimpin utama pemerintah yang mentadbir negara kita.
“Pemerintah lama mahu muncul kembali, mereka perlu bergantung kepada sesuatu yang agak konkrit, sama ada Statut Rom, penamaan MB (Menteri Besar), dan lain-lain. Ini adalah usaha untuk mendapatkan semula kuasa oleh raja-raja tertentu. ” – 4 Mei, 2019.
Komen