Bintang YouTube dipenjara 10 tahun kerana pornografi kanak-kanak


Bintang YouTube Austin Jones dijatuhi hukuman penjara 10 tahun kerana melakukan amang seksual kepada gadis semuda 14 tahun dengan memperdaya mereka untuk menghantar video seksual kepadanya. – Gambar YouTube, 4 Mei, 2019.

SEORANG selebriti musikal YouTube dijatuhi hukuman penjara 10 tahun di Chicago kerana jenayah amang seksual gadis semuda 14 tahun dengan meminta mereka merakam video seksual yang dihantar kepadanya.

Austin Jones, yang merakam dan mengeluarkan videonya menyanyi untuk peminat yang rata-rata gadis remaja ditahan pada 2017 dan mengaku bersalah awal tahun ini atas satu pertuduhan pornografi kanak-kanak.

Dalam pertuduhannya, Jones mengaku enam mangsa dan hampir 30 cubaan untuk memujuk gadis bawah umut menghantarnya pornografi kanak-kanak, menurut pendakwa raya.

Hakim persekutuan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada lelaki berusia 26 tahun itu, yang mengikut garis panduan hukuman minimum penjara lima tahun dan maksimum 20 tahun boleh dikenakan.

Pendakwa raya menggunakan mesej bertulis Jones kepada gadis bawah umur yang berselindung di sebalik “ujian bakat” untuk menjadi model dan peluang lain sebagai bukti amang seksual dilakukannya kepada mahkamah.

“Saya hanya mahu bantu awak! Saya tahu awak cuba yang terbaik untuk buktikan awak peminat saya. Dan saya tidak mahu cari orang lain,” tulis Jones kepada mangsa berusia 14 tahun menerusi Facebook, menurut kertas pendakwaan.

Pendakwa raya berkata Facebook melaporkan interaksi Jones dengan gadis 14 dan 15 tahun kepada Pusat Nasional untuk Kanak-Kanak Dieksploitasi dan Hilang dalam aplikasi perbualan platformnya.

Peguam bela Jones meminta dia dijatuhi hukuman penjara lima tahun kerana latar belakang zaman kanak-kanaknya.

“Austin adalah mangsa penderaan seksual dan emosi ayahnya sejak berumur enam hingga 10 tahun. Dia mudah, takut dan tidak dapat pertolongan,” tulis peguamnya dalam pemfailan ke mahkamah.

Mereka mendakwa Jones menghidap tekanan teruk dan pelbagai masalah mental lain. – AFP, 4 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen