PIHAK bertelagah di Sudan Selatan semalam bersetuju untuk menangguhkan pembentukan kerajaan perpaduan selama enam bulan, beberapa hari sebelum ia dijadualkan dibentuk.
“Semua parti bersetuju menangguhkan tempoh pra transisi selama enam bulan bermula daripada 12 Mei 2019 untuk membolehkan pelaksanaan tugas penting tertangguh,” kata Pihak Berkuasa Antara Kerajaan untuk Pembangunan (IGAD), sebuah blok rantau Afrika Timur yang menjadi orang tengah antara pihak bertelagah.
Persetujuan itu dicapai selepas perbincangan dua hari di Addis Ababa dimana pihak bertelagah Sudan Selatan cuba untuk mencapai perjanjian damai sejak September 2018.
Perjanjian itu ditandatangani oleh wakil Presiden Salva Kiir, ketua pemberontak Riek Machar dan kumpulan bertelagah lain dalam cubaan terbaru menamatkan konflik yang sudah masuk tahun keenam.
Tetapi, pihak terlibat gagal mencapai kemajuan dalam beberapa isu sebelum kerajaan perpaduan dijadualkan ditubuhkan pada 12 Mei.
Kerajaan bertegas mesyuarat perlu memberi tumpuan kepada pembentukan kerajaan perpaduan.
Pasukan Machar pula mahukan penangguhan selama enam bulan untuk menyelesaikan isu keselamatan dan isu berbangkit lain yang menghalangnya untuk pulang ke Sudan Selatan.
Machar hidup dalam buangan di Khartoum sejak persetujuan damai pada 2016 gagal.
Beliau sepatutnya kembali sebagai naib presiden di bawah perjanjian baharu.
IGAD berkata pihak terlibat “mengenal pasti ketiadaan hasrat politik, pembiayaan dan kekangan masa sebagai cabaran utama yang menghalang pembentukan” kerajaan perpaduan.
Pemerhati berkata langkah utama seperti menubuhkan tentera bersatu dan kawalan keselamatan juga masih belum dibincangkan.
Perang Sudan Selatan tercetus dua tahun selepas negara itu merdeka pada 2011, selepas Kiir menuduh Machar, bekas naib presidennya cuba melakukan rampasan kuasa. – AFP, 4 Mei, 2019.
Komen