PELAKON Perancis Vincent Cassel menyertai siri Westworld terbitan HBO untuk musim ketiganya yang dijadualkan bermula tahun depan, pasukannya memberitahu AFP- ia adalah watak pertamanya dalam siri drama TV.
Akhbar Tinseltown mula-mula melaporkan berita itu minggu ini, Hollywood Repoter pula berkata pelakon Perancis berusia 52 tahun itu akan memainkan watak antagonis.
Westworld berkisar tentang taman tema masa hadapan, di mana tetamu bebas berinteraksi dengan android. Tetapi konflik mula timbul apabila sebilangan android mula memberontak.
Drama itu dibintangi Evan Rachel Wood, Thandie Newton, Jeffrey Wright dan Ed Harris. Turut menyertai barisan pelakon baharu adalah bekas bintang Breaking Bad, Aaron Paul dan pelakon Lena Waithe.
“Kami sangat teruja untuk bekerja bersama Vincent Cassel,” kata pencipta drama itu Jonathan Nolan dan Lisa Joy dalam kenyataan dikeluarkan HBO.
“Kami sudah lama jadi peminatnya dan teruja beliau setuju menyertai pasukan Westworld.”
Cassel mula dikenali ramai melalui filem La Haine (1995), sebuah filem tentang isu perkauman masyarakat pinggir bandar Paris.
Selepas membintangi beberapa filem Perancis, Cassel kemudian menembusi Hollywood dengan membintangi antara lainnya Ocean’s Twelve dan Ocean’s Thirteen.
Beliau turut berlakon disamping Natalie Portman dalam filem Black Swan.
Pada 2009, Cassel menang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Cesar- Oscar Perancis- untuk wataknya sebagai gangster Perancis Jasques Mesrine. – AFP, 4 Mei, 2019.
Komen