Majlis 3 hari pertabalan raja Thailand bermula


Majlis gilang gemilang pertabalan akan berlangsung selama tiga hari. Raja Vajiralongkorn dianugerahkan gelaran Rama X Dinasti Chakri, yang memerintah sejak 1782. – Gambar AFP, 4 Mei, 2019.

RAJA Maha Vajiralongkorn di Thailand akan ditabalkan hari ini dalam satu upacara penuh tradisi dipenuhi ritual Hindu dan Buddha, dua tahun selepas bertakhta susulan kemangkatan ayahndanya.

Pada jam 10:09 pagi, rakyat akan diberikan peluang melihat upacara penuh gemilang apabila majlis pertabalan dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula.

Raja Vajiralongkorn dianugerahkan gelaran Rama X Dinasti Chakri, yang memerintah sejak 1782.

Majlis hari ini akan dimulakan dengan air suci dari seluruh Thailand direnjis kepada jubah putih diraja di dalam Istana Agung.

Sami Hindu Brahmin dan Buddha akan menghadiri upacara itu yang menggambarkan transformasi Rama X daripada manusia biasa kepada insan suci.

Kemudian baginda akan duduk di bawah enam tingkat payung negara, sebelum diserahkan Mahkota Agung Kejayaan, mahkota emas tiga tingkat seberat 7.3 kg yang dihiasi berlian dari India.

Untuk kebanyakan rakyat Thailand, ini adalah kali pertama mereka menyaksikan majlis pertabalan- kali terakhir dibuat pada 1950 untuk mendiang Raja Bhumibol Adulyadej.

Bhumibol dianggap tokoh yang menyatukan negara bergolak politik itu sehinggalah beliau mangkat pada Oktober 2016.

Puteranya, Vajiralongkorn, 66, tidak begitu dikenali rakyat Thailand.

Kehidupannya penuh rahsia dan pernah berkahwin sebanyak empat kali, baginda mewarisi takhta kerajaan terkaya dan sebuah negara yang penuh krisis politik.

Thailand ditadbir junta tentera setia kepada raja sejak 2014.

Rama X dianggap pemain penting dalam arena politik mencabar Thailand, masuk campur beberapa kali- termasuklah menjelang pilihan raya yang bermula 24 Mac lalu- ketika baru memerintah.

Pada lewat malam Jumaat, baginda tiba di dewan Istana Agung menaiki kereta Rolls-Royce bersama isteri baharunya- kini Permaisuri Suthida- bekas pramugari yang menjadi pengawal peribadi diraja.

Perkahwinan mereka diumumkan secara mengejut pada Rabu.

Di dalam dewan, beliau disambut ahli keluarga diraja termasuklah puteranya berusia 14 tahun daripada perkahwinan ketiga- Putera Dipangkorn- dan kakaknya, Puteri Ubolratana.

Ubolrata pada Februari lepas mengejutkan negara apabila namanya dicadangkan sebagai calon perdana menteri oleh parti anti junta- tindakan yang kemudiannya dibatalkan atas titah adiknya sendiri selaku raja Thailand.

Undang-undang lese majeste yang ketat mengawal perbincangan tentang keluarga diraja dalam Thailand.

Media sosial Thailand yang meriah hampir senyap dengan perbincangan menjelang pertabalan diraja itu.

Tetapi, kemeriahan memuncak di jalan sekitar Istana Agung apabila ada ratusan orang tidur di sana malam semalam untuk mendapat tempat terbaik melihat majlis pertabalan hari ini.

Dilahirkan pada 28 Julai 1952, Vajiralongkorn yang mendapat pendidikan di British dikenali kerana minatnya berbasikal dan memandu pesawat, tetapi menghabiskan banyak masanya di luar negara- terutama di Jerman- dan terus kekal susuk diraja misteri untuk rakyat kebanyakan Thailand. – AFP, 4 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen