CRISTIANO Ronaldo semalam berkata keputusannya membuka sebuah klinik transplan rambut di Madrid adalah caranya berterima kasih kepada “orang yang menyayangi saya” selepas berdekad menghabiskan masa di Real Madrid.
Pusat transplan rambut milik bintang Portugal berusia 34 tahun itu yang terletak di ibu kota Sepanyol mula dibuka Mac lalu walaupun beliau sudah bermain untuk Juventus sejak tahun lepas.
“Orang Sepanyol layan saya baik, saya mahu berterima kasih kepada mereka dengan beri mereka kerja,” kata Ronaldo kepada akhbar El Pais.
“Saya tahu orang sayang saya, mereka tahu saya buat yang terbaik untuk kelab (Real) dan mereka juga berikan banyak perkara untuk saya.”
Ronaldo yang menang dua kejuaraan La Liga dan empat Liga Juara Eropah dengan Real, berkata beliau tidak menolak kemungkinan menjadi jurulatih apabila bersara.
“Saya lihat bola sepak sebagai misi: untuk berada di padang, untuk menang, untuk jadi lebih baik, saya rasa lebih tekanan, orang selalu menghakimi, mereka kata masa saya sudah habis, yang saya 33, 34 atau 35, dan saya perlu bersara,” tambah pemenang lima kali anugerah Ballon d’Or itu. – AFP, 4 Mei, 2019.
Komen