Anggota bersenjata maut ditembak di selatan Thailand


Anggota pasukan keselamatan meningkatkan kawalan di Pattani, selatan Thailand.– Gambar EPA, 3 Mei, 2019

PASUKAN keselamatan Thailand menembak mati seorang lelaki dipercayai anggota kumpulan bersenjata dalam satu insiden berbalas tembakan di Nong Chik, Pattani, selatan Thailand.

Jurucakap Tentera Bahagian ke-4 Kol. Thanavi Suwannarat berkata, dalam kejadian kira-kira 4.00 petang semalam, lelaki berusia 37 tahun dari Kg Long Khuan,  Sebayoi, Wilayah Songkla ditembak mati di sebuah ladang getah di Kg Bakong dalam.

Insiden tembak menembak berlaku selama kira-kira 10 minit. Walaupun diminta menyerah diri, namun lelaki itu enggan dan bertindak cuba melarikan diri dengan melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan.

“Kami juga menemui sepucuk pistol di sisi mangsa. Dalam kejadian itu, seorang anggota polis turut mengalami kecederaan,” katanya kepada pemberita di Pattani hari ini.

Anggota kumpulan bersenjata yang maut itu adalah suspek yang dikehendaki polis kerana pernah terlibat dalam insiden pengeboman balai polis di Hatyai dan samun kenderaan pada tahun 2014 dan 2015.

Sementara itu, di Narathiwat, Ketua Kompeni Renjer ke-45 Kol.Issara Jantakrayom berkata satu insiden berbalas tembakan antara pasukan keselamatan dan kumpulan bersenjata di Kg Repah, Dusun Nyur, Narathiwat hari ini.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira 8.00 pagi (waktu tempatan), kumpulan enam lelaki yang bersenjata melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan. Selepas kira-kira 10 minit berbalas tembakan,  kumpulan itu berjaya meloloskan diri.

“Pasukan keselamatan sedang menjejaki anggota kumpulan itu dan kami percaya ada antara mereka mengalami kecederaan,” katanya.

Beliau menambah bahawa pasukan keselamatan menemui beg yang mengandungi makanan kering, pakaian dan ubat-ubatan. – Bernama, 3 Mei, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen