30 militan dan 7 anggota keselamatan maut


Sekurang-kurangnya 30 militan terbunuh selepas serangan yang dilancarkan kumpulan itu di daerah Burka di utara wilayah Baghlan, Afghanistan berjaya dipatahkan hari ini. – Gambar AFP, 3 Mei, 2019

SEKURANG-KURANGNYA 30 militan terbunuh selepas serangan yang dilancarkan kumpulan itu di daerah Burka di utara wilayah Baghlan, Afghanistan berjaya dipatahkan hari ini, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan jurucakap kerajaan wilayah berkenaan, Mahmoud Haqmal.

Sekumpulan pemberontak Taliban melancarkan serangan pada jam 1 pagi waktu tempatan untuk menawan Burka namun pasukan keselamatan bertindak membalas bedilan mereka menyebabkan 30 pemberontak maut di tempat kejadian dan mencederakan 10 yang lain.

Pegawai itu berkata lebih 10 kakitangan keselamatan turut maut dan cedera dalam pertempuran tersebut.

Haqmal berkata, operasi pembersihan masih berlangsung di kawasan itu.

Dalam pada itu, seorang anggota majlis wilayah, Bismillah Atash mengesahkan tujuh kakitangan keselamatan terbunuh manakala empat lagi cedera.

Militan Taliban belum mengeluarkan sebarang kenyataan. – Bernama, 3 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen