Maduro gesa tentera Venezuela bersatu


Presiden Venezuela Nicolas Maduro mengetuai satu "perarakan untuk kesetiaan tentera" semalam sambil menggesa Angkatan Bersenjata Bolivarian Kebangsaan (FANB) agar kekal bersatu, lapor agensi berita China Xinhua. – Gambar EPA, 3 Mei, 2019

PRESIDEN Venezuela Nicolas Maduro mengetuai satu “perarakan untuk kesetiaan tentera” semalam sambil menggesa Angkatan Bersenjata Bolivarian Kebangsaan (FANB) agar kekal bersatu, lapor agensi berita China Xinhua.

“Kita sedang melakar sejarah baharu dan FANB harus tampil bersatu padu di depan rakyat, lebih bersatu, lebih padu, lebih berdisiplin dan lebih setia kepada kepimpinan berperlembagaan,” katanya.

Bercakap di akademi tentera kebangsaan Venezuela dalam ucapan negara yang disiarkan menerusi televisyen, Maduro memuji nilai kesetiaan “dalam peperangan kita menentang imperialisme, terhadap pengkhianat dan dalang rampasan kuasa.”

Acara itu bertujuan mengiktiraf peranan tentera dalam menggagalkan percubaan rampasan kuasa pada Selasa oleh pemimpin pembangkang.

Pada Selasa, pemimpin pembangkang Venezuela Juan Guaido, yang mengisytiharkan dirinya sebagai presiden sementara Venezuela, dilaporkan telah menggesa rakyat dan tentera negara itu turun ke jalanan untuk menggulingkan Maduro. – Bernama, 3 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen