SEKURANG-KURANGNYA 90 orang termasuk 65 kanak-kanak dipercayai telah dijangkiti virus HIV oleh doktor yang menggunakan jarum suntikan tercemar.
Ketua polis tempatan yang mengetuai kes itu di selatan bandar Larkana, Kamran Nawaz berkata, pihaknya telah menahan seorang doktor selepas menerima aduan daripada pihak berkuasa kesihatan.
“Kami diberitahu yang doktor berkenaan juga mempunyai HIV,” katanya.
Pihak berkuasa pertama kali dimaklumkan minggu lepas selepas 18 kanak-kanak dari pinggir bandar diuji positif HIV mendorong pegawai kesihatan melakukan pemeriksaan lebih luas.
Seramai puluhan orang dikesan telah dijangkiti virus berkenaan.
Pegawai kesihatan daerah di Larkana Dr Abdul Rehaman berkata, lebih 90 orang telah membuat ujian HIV dikesan positif termasuk 65 kanak-kanak.
Seorang pegawai kedua mengesahkan wabak itu tetapi memberikan angka sedikit berbeza.
Pihak berkuasa berkata, mereka mengesan wabak itu daripada seorang doktor yang menggunakan jarum suntikan tercemar terhadap pesakit.
Menteri Kesihatan Wilayah Sindh Azra Pechuho mengesahkan penangkapan doktor berkenaan.
“Darah ibu bapa kanak-kanak yang dijangkiti juga diuji tetapi hasilnya negatif,” katanya.
Pegawai telah menjalankan ujian pemeriksaan dan pendidikan lebih besar.
Pakistan dianggap sebagai negara yang mempunyai kadar jangkitan HIV rendah tetapi penyakit itu menular dalam kalangan penagih dadah, pekerja seks dan buruh migran yang kembali dari Teluk. – AFP, 3 Mei, 2019.
Komen