Guaido gesa adakan bantahan di pangkalan tentera


Rakyat Venezuela kembali ke jalah raya bagi menyatakan bantahan mereka terhadap Presiden Nicolas Maduro. – Gambar EPA, 3 Mei, 2019

PEMIMPIN pembangkang Venezuela, Juan Guaido pada Khamis menggesa perhimpunan aman di pangkalan tentera, beberapa hari selepas pihak tentera menyatakan sokongannya untuk menggulingkan Presiden Nicolas Maduro.

Gesaan terbaharu itu dibuat selepas Maduro meminta pasukan tentera di negara bergolak itu menentang sebarang “cubaan menggulingkan” kerajaan, selepas pemimpin itu berdepan bantahan dan tekanan antarabangsa, terutamanya dari Amerika Syarikat.

Guaido menerusi Twitter meminta penyokongnya mengadakan perhimpunan aman pada Sabtu di pangkalan tentera dalam usaha untuk menarik tentera “menyokong perlembagaan”.

Guaido yang diiktiraf lebh 50 negara sebagai presiden sementara Venezuela, pada Selasa mengesa pihak tentera untuk bangkit menentang Maduro, dan sekumpulan kecil pihak berkenaan menyahut panggilan itu.

Namun gerakan itu terhenti, dan mencetuskan bantahan selama dua hari terhadap kerajaan yang menyebabkan empat orang terbunuh.

Kepimpinan tentera telah mengulangi kenyataan untuk menyokong kerajaan, dan Maduro mempertahankan kedudukannya.

“Ya kita sedang berperang—pastikan semangat tinggi untuk menentang sebarang pengkhianatan, sebarang penggulingan,” katanya pada satu acara bersama pimpinan tentera yang disiarkan televisyen.

“Tiada siapa yang perlu takut—inilah masanya untuk pertahankan hak kita untuk keamanan,” katanya. – AFP, 3 Mei, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen