SEORANG juruterbang pesawat Lion Air Indonesia yang didakwa memukul pekerja sebuah hotel kerana tidak berpuas hati cara pakaiannya digosok dikenakan tindakan gantung kerja.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) insiden itu dimuat naik di Facebook dan sehingga kini mendapat satu juta tontonan.
Dalam rakaman itu menunjukkan juruterbang itu memasuki kawasan belakang kaunter penyambut tetamu bagi membuat aduan mengenai kemeja miliknya sebelum memukul kepala pekerja itu beberapa kali.
Juruterbang itu kemudian dibawa keluar dari kawasan itu oleh seorang lelaki lain.
Syarikat penerbangan bajet itu berkata, juruterbang itu digantung kerja susulan kejadian pada 30 April lalu di sebuah hotel di Surabaya.
Jurucakap Lion Air Danang Mandala Prihantoro berkata, ketika ini Lion Air sedang mengumpul maklumat lain yang diperlukan untuk siasatan lanjut.
“Sekiranya juruterbang itu didapati bersalah, Lion Air akan mengambil tindakan tegas dengan memecatnya dari syarikat,” katanya.
Rakaman video itu merupakan publisti buruk terbaru yang melanda antara syarikat penerbangan terbesar di Asia Tenggara itu yang sedang bergelut dengan isu keselamatan dan kualiti perkhidmatan yang tidak memuaskan.
Tahun lalu, pesawat Boeing 737 MAX milik Lion Air terhempas di dalam laut sebaik sahaja berlepas dari Jakarta.
Insiden itu mengorbankan kesemua 189 penumpang dan anak kapal. – AFP, 3 Mei, 2019.
Komen