Venezuela keluar waran tangkap pemimpin pembangkang


Venezuela digegar oleh tunjuk perasaan sejak 10 Januari ketika Presiden Nicolas Maduro mengangkat sumpah jawatan bagi penggal kedua susulan tindakan pembangkang memboikot pengundian. – Gambar EPA, 3 Mei, 2019.

MAHKAMAH Agung Venezuela pada Khamis mengeluarkan waran tangkap terhadap Leopoldo Lopez, seorang pemimpin pembangkang terkemuka yang didakwa menjadi sebahagian daripada gerakan untuk menggulingkan Presiden Nicolas Maduro, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Lopez dibebaskan daripada tahanan rumah pada Khamis oleh angkatan bersenjata yang setia kepada Juan Guaido yang mengisytiharkan dirinya sebagai presiden.

Beliau pada mulanya memohon perlindungan di Kedutaan Chile bersama isteri dan anak perempuannya namun mereka kemudian membuat keputusan untuk ke Kedutaan Sepanyol, kata Menteri Luar Chile Roberto Ampuero.

Lopez, bekas pemimpin Parti Popular Will, yang dihukum penjara hampir 14 tahun pada 2015 bagi kesalahan perkaitan jenayah dan menghasut tunjuk perasaan anti-kerajaan yang membawa kepada keganasan serta kematian 43 orang.

Venezuela digegar oleh tunjuk perasaan sejak 10 Januari ketika Maduro mengangkat sumpah jawatan bagi penggal kedua susulan tindakan pembangkang memboikot pengundian.

Ketegangan memuncak apabila Guaido mengisytiharkan dirinya sebagai presiden sementara pada 23 Januari, satu langkah yang disokong oleh Amerika Syarikat dan kebanyakan negara Eropah serta Amerika Latin.

Rusia, Turki, China, Iran, Bolivia dan Mexico pula menyokong Maduro. – Bernama, 3 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen