POLIS akan menemui Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Abu Kassim Mohamed untuk membincangkan pelaksanaan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) , kata Muhyiddin Yassin.
Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berkata mesyuarat itu diadakan selepas polis menyatakan kurang senang dengan cadangan IPCMC untuk mengendalikan kes disiplin pasukan itu.
“Saya sedar akan rungutan daripada pasukan polis. Ada perkara yang mereka bimbang dan itulah sebabnya pertemuan akan diadakan dengan Abu Kassim Mohamed daripada GIACC tidak lama lagi.
“Abu Kassim akan dapat menjelaskan mengenai IPCMC lebih lanjut kepada pihak polis dan kedua-dua pihak akan bertukar pandangan dan saya perlu menekankan kita bukan cuba untuk menidakkan pasukan polis dengan melaksanakan IPCMC,” kata Muhyiddin selepas satu acara di Kuala Lumpur pagi ini.
Semalam, Ketua Polis Negara Fuzi Harun mendedahkan pegawai kanan polis menolak cadangan IPCMC untuk mengendalikan kes disiplin dalam pasukan itu.
Fuzi menambah polis melahirkan bantahan mereka melalui memo kepada Pejabat Perdana Menteri.
“Isu ini mendapat perhatian daripada pegawai sedang berkhidmat serta yang bersara. Ramai tidak bersetuju dengan beberapa cadangan, termasuk membolehkan IPCMC mengambil alih terhadap isu disiplin.
“Malah kami sudah menghantar surat mengenai perkara ini kepada kerajaan.”
Fuzi berkata mesyuarat itu juga memutuskan jawatankuasa itu perlu bertemu perdana menteri untuk membincangkan perkara itu dengan lebih lanjut. – 3 Mei, 2019.
Komen