KETUA Polis Negara (KPN) Mohamad Fuzi Harun pagi ini secara rasminya menyerahkan jawatannya sebagai polis tertinggi negara kepada Pemangku Timbalan KPN Abdul Hamid Bador.
Fuzi, yang menjadi KPN sejak 2017, memberitahu media yang beliau berasa gembira sudah sampai ke penghujung kerjayanya dengan pasukan polis.
“Saya mempunyai banyak perkara untuk dilakukan selepas ini. Walaupun saya tidak lagi menjadi pegawai polis, saya berasa lega selepas 35 tahun.
“Saya gembira dan mendoakan yang terbaik kepada pengganti Hamid Bador. Saya pasti beliau akan dapat menjalankan semua tugasnya,” kata Fuzi yang kelihatan seidkit beremosi menyeka matanya semasa majlis persaraannya hari ini di Pusat Latihan Polis (Pulapol).
Majlis tersebut disaksikan oleh Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.
Fuzi adalah KPN ke-11 yang menggantikan Khalid Abu Bakar yang bersara pada 2017.
Hamid kini menjadi KPN ke-12 negara dan akan memegang jawatan itu selama dua tahun sehingga 2021.
Muhyiddin mengucapkan terima kasih kepada Fuzi atas komitmennya terhadap pasukan itu dan mengalu-alukan Hamid sebagai anggota polis tertinggi yang baru.
Hamid tidak memberi sebarang ucapan dan bertemu media kerana acara hari ini adalah untuk menghargai perkhidmatan Fuzi.
Hamid, yang akan berusia 61 tahun pada 7 Ogos, berkhidmat dalam pelbagai kapasiti dalam pasukan polis.
Beliau pernah menjadi timbalan ketua polis Daerah Gombak, ketua Cawangan Khas negeri, timbalan pengarah Unit Perisikan Asing (E3), timbalan ketua Cawangan Khas dan ketua Cawangan Khas.
Hamid dipindahkan ke Pejabat Perdana Menteri pada 2015 ketika beliau menjadi timbalan pengarah Cawangan Khas selepas beliau cuba memberi amaran kepada bekas perdana menteri Najib Razak berhubung urus niaga 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang meragukan.
Hamid enggan menerima jawatan itu sebagai tanda protes.
Beliau diambil berkhidmat semula dan dinaikkan pangkat sebagai ketua Cawangan Khas sebaik sahaja Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan persekutuan daripada Barisan Nasional pada pilihan raya umum tahun lepas. – 3 Mei, 2019.
Komen