WALAUPUN terdapat desas desus mengenai kemenangannya pada malam 9 Mei tahun lepas, Maria Chin Abdullah masih tidak yakin sehingga beliau benar-benar pasti memenangi kerusi Parlimen Petaling Jaya (PJ).
Selepas tempoh kempen 14 hari yang sukar, Maria dan 100 sukarelawan berkumpul di pusat pemilihannya di PJ untuk menonton keputusan sejak pukul 5 petang, sebelum diganggu dengan panggilan pada jam 8.30 malam.
“Dr Wan Azizah Wan Ismail menelefon untuk mengatakan terdapat peluang tipis kita akan memenangi Putrajaya,” katanya kepada The Malaysian Insight di pejabatnya yang terletak berhampiran SMK Assunta di Petaling Jaya.
Sebelum sempat beliau menghadam maklumat itu, khabar mula berlegar yang Maria mungkin menang kerusi Petaling Jaya dengan majoriti lebih besar berbanding margin diperoleh penyandang Hee Loy Sian sebanyak 19,216 undi sebelum ini.
“Kami tahu memenangi kerusi PJ bagus tetapi tidak menjangkakan margin yang besar. Dan kita sudah tentu tidak terfikir menjadi kerajaan persekutuan akan datang,” kata wanita berusia 62 tahun yang pertama kali menjadi ahli Parlimen.
“Kami menonton keputusan di RTM dan portal lain tetapi keputusannya sangat perlahan. Malah mereka belum memulakan penyelarasan undian saya sehinggalah pada pukul 8 malam, jadi saya tidak pasti.”
Keputusan rasmi Maria bagi kerusi dengan 140,000 jumlah pengundi itu hanya diumumkan di Dewan Bandaraya PJ sekitar jam 4 pagi pada 10 Mei.
Beliau berjaya menawan kerusi PJ dengan margin mengagumkan 57,137 undi, mengalahkan Chew Hian Tat (BN) dan Noraini Hussin (PAS).
Apabila disahkan Pakatan Harapan (PH) berjaya mengambil alih Putrajaya, Maria diberitahu untuk menunggu pemimpin PH lain di Hotel Sheraton baru dibina di Petaling Jaya.
Beliau begitu dikuasai dengan emosi dan kegembiraan sehinggakan tidak berani mengumumkan kemenangan kepada sukarelawan di pusat.
“Tetapi saya agak emosi. Saya beritahu Ivy (Josiah) dan kemudian Noraini Haziqah. Tetapi secara keseluruhannya, saya juga keliru dengan perasaan bercampur-baur. Ia adalah rasa gembira yang bercampur-baur dengan ketidakpastian yang semua ini benar-benar berlaku.”
Beliau sampai di Hotel Sheraton yang ditempah PH sekitar jam 10 malam. Di sini, skrin besar dan banyak monitor TV dipasang bagi membolehkan semua orang melihat pengumuman keputusan undian.

Akhirnya, pada 10 malam 9 Mei, Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad mengadakan satu sidang akhbar untuk mengumumkan gabungan itu memenangi lebih 112 kerusi persekutuan.
“Walaupun begitu, ia tidak rasmi kerana ketua SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) tidak mengumumkannya sehinggalah lewat kemudian,” kata Maria.
Sambutan penuh makna
Ramai pemimpin PH memutuskan untuk bermalam di hotel, menunggu pengumuman rasmi SPR untuk meraikannya bersama, tetapi Maria memutuskan untuk pulang ke rumah.
“Saya tidak membawa sebarang baju,” beliau ketawa. “Bagaimanapun, saya tinggal di PJ dan ia lebih masuk akal untuk saya balik ke rumah.”
Ia adalah satu keputusan yang disyukurinya kerana ketika sampai di rumah pada pukul 6 pagi, tiga anak lelaki Maria - Azumin Mohamad Yunus, Aziman Maria dan Azemi Maria - sedang menunggu ibunya.
Maria, yang menjadi ibu tunggal selepas suaminya aktivis Yunus Ali meninggal dunia pada 2010, berkata itu adalah salah satu detik paling mengesankan daripada Pilihan Raya Umum ke-14 dan sokongan keluarga menjadi pemangkinnya.
“Itu sangat istimewa dan saya terkejut kerana mereka berjaga menunggu saya.
“Kami sentiasa bercakap mengenai banyak perkara, tetapi kami sedar yang saya akan ke Parlimen sebagai ahli Parlimen kerajaan dan bukannya ahli Parlimen pembangkang,” katanya.
“Saya tidak dapat menjelaskan kepada mereka apa maksudnya kerana ia merupakan satu pengalaman baru bagi saya. Tetapi mereka gembira untuk saya. Dan saya tersentuh mereka menunggu saya kembali untuk mengucapkan tahniah,” kata Maria sambil mengimbas memori pagi itu.
“Saya sangat gembira kerana mendapat sokongan mereka.” – 4 Mei, 2019.
Komen