Pakatan perlu kuasai naratif, kata Maria


Chan Kok Leong

Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah berkata prestasi kerajaan Pakatan Harapan tidaklah terlalu teruk tetapi perlu lebih telus dan jelas mengenai polisinya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 4 Mei, 2019.

PAKATAN Harapan (PH) tidak boleh membenarkan kumpulan dan ahli politik tertentu menentukan naratif politik negara menggunakan retorik perkauman dan agama, kata Maria Chin Abdullah.

Dalam temu bual dengan The Malaysian Insight sempena setahun beliau menjadi ahli Parlimen, di pejabatnya, Maria berkata prestasi gabungan itu “tidaklah terlalu teruk” tetapi lebih banyak perlu dilakukan bagi menghantar mesej yang jelas mengenai arah mana negara ingin dibawa

“Naratif yang berlegar di kalangan rakyat adalah kerajaan ini anti-Melayu dan Islam. Kedua-dua naratif ini cukup baik untuk meyakinkan beberapa orang yang mereka mungkin sudah melakukan kesilapan mengundi PH,” katanya.

Maria berkata PH “tidak terlalu teruk”, terutamanya dalam menjaga kebajikan ekonomi rakyat dan mengambil tindakan menyelamatkan beberapa agensi seperti Tabung Haji dan Felda daripada masalah kewangan.

Bagaimanapun, beliau berkata gabungan itu berterusan dalam keadaan mengawal kerosakan berhubung penarikan diri daripada beberapa perjanjian antarabangsa seperti Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan baru-baru ini, Statut Rom.

“Apabila kita perlu menjelaskan selepas dikritik, kita mempunyai lebih banyak kerja dan kemudian menyebabkan terikat dalam naratif. Siapa yang menguasai naratif itu? Pasti bukan PH,” kata aktivis berusia 62 tahun yang kini menjadi ahli politik.

“Kita kini terpaksa menghuraikan perbualan itu sedangkan kita boleh menguasai perbualan itu.”

Beliau berkata apabila PH mengambil alih kerajaan persekutuan, rakyat Malaysia menikmati tahap kebebasan lebih tinggi, tetapi ia juga membawa kepada kritikan yang tidak dapat dielakkan.

“Apabila PH datang, ruang demokrasi dibuka. Salah satu akibatnya ialah anda turut menerima pandangan yang menentang anda.

“Kerajaan terpaksa menanganinya dan kebenaran mesti ditegakkan,” kata Maria.

Ikuti petikan wawancara Maria dengan The Malaysian Insight di sini. – 4 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen