Penerbit buku AS tak mahu terbit memoir Woody Allen


Pengarah prolifik Woody Allen terkait dengan tuduhan cabul oleh anak angkat perempuannya sendiri, dan kini terpinggir dalam industri hiburan dunia. – Gambar AFP, 3 Mei, 2019.

PENGARAH menang Oscar Woody Allen- yang berdepan kecaman industri kerana dituduh mencabul anak angkat perempuannya- sukar mencari penerbit untuk menerbitkan memoirnya, lapor The New York Times semalam.

Eksekutif empat penerbit utama AS, semuanya bercakap atas dasar kerahsiaan, memberitahu akhbar tersebut yang mereka ditawarkan projek itu oleh ejen Allen sejak tahun lepas lagi.

Tiada seorang pun membuat tawaran, dan ada antara mereka yang enggan membawa bahan yang diberikan kepada mereka, lapor Times.

Lima syarikat penerbitan utama AS- HarperCollins, Hachette, Macmillan, Simon & Schuster dan Penguin Random House- tidak menjawab permintaan AFP untuk ulasan. Ejen Allen juga tidak membalas pertanyaan.

Sejak tercetusnya gerakan #MeToo menentang gangguan dan salah laku seksual, tuduhan berdekad lamanya yang Allen mencabul Dylan Farrow ketika beliau berusia tujuh tahun pada awal 1990-an mula kembali menghantuinya.

Beliau dibebaskan daripada tuduhan yang mula-mula dibuat oleh bekas pasangannya, Mia Farrow, selepas dua bulan siasatan dan berulang kali menafikan tuduhan itu.

Tetapi Dylan yang kini seorang dewasa, menegaskan beliau dicabul dan mendapat sokongan ibu dan abangnya.

Imej awam Allen sekali lagi jadi tumpuan tahun lepas, apabila dalam satu wawancara dengan stesen TV Argentina, beliau berkata beliau patutnya jadi “wajah” pergerakan #MeToo.

“Saya- yang hanya dituduh oleh seorang wanita dalam kes penjagaan anak, yang disiasat dan dibuktikan tidak bersalah- dikumpulkan dalam kumpulan orang ini (pelaku kesalahan seksual),” katanya kepada Canal 13.

Kumpulan pelakon yang pernah bekerja dengan Allen sudah menjauhkan diri mereka daripada pengarah prolifik itu, mengatakan mereka sudah tidak bekerja dengannya.

Awal tahun ini, beliau memfailkan saman bernilai AS$68 juta kepada Amazon kerana melanggar kontrak, menuduh gergasi media itu membatalkan kontrak filem kerana tuduhan berkaitan Dylan.

Amazon mengesahkan pembatalan kontrak itu. Perbicaraan dijangka berlaku tahun depan. – AFP, 3 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen