Bashir disiasat kerana ‘pembiayaan keganasan’


Pemerintah kuku besi Sudan Omar al-Bashir tersingkir selepas tiga dekad memerintah yang mengheret negara itu ke kancah perang tiada kesudahan. – Gambar AFP, 3 Mei, 2019.

PENDAKWA raya Sudan semalam mengarahkan soal siasat ke atas presiden tersingkir Omar al-Bashir berkaitan tuduhan pengubahan wang haram dan “pembiayaan keganasan”, ketika tunjuk perasaan berlaku di Khartoum supaya kerajaan awam dibentuk semakin memuncak. 

Sumber pejabat pendakwaan mengesahkan laporan media negara itu yang pemangku Ketua Pendakwa Raya Al-Waleed Sayyed Ahmed mengarahkan Bashir disoal siasat di bawah “undang-undang anti pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan”.

Tiga minggu selepas Bashir disingkirkan tentera, penunjuk perasaan berkumpul di sekitar pejabat tentera Sudan di Khartoum semalam untuk perarakan “sejuta kekuataan” mendesak pentadbiran awam.

Penunjuk perasaan semakin bertambah sejak beberapa hari lalu, memenuhi jalan dan jambatan menuju ke kompleks pusat Khartoum, lapor wartawan AFP, ketika perbincangan antara ketua pembantah dan tentera menemui jalan buntu.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk menubuhkan majlis bersama awam-tentera untuk mentadbir tetapi tidak mencapai persetujuan tentang komposisi ahli.

Penunjuk perasaan mahukan majoriti ahli majlis terdiri daripada orang awam, tetapi tentera mahukan majlis itu didominasi jeneral tentera.

Ia menyebabkan penunjuk perasaan menggesa perarakan “sejuta kekuataan” untuk mengukuhkan tuntutan mereka.

Pemerintahan kuku besi Bashir di Sudan berlanjutan selama tiga dekad. Sepanjang pentadbirannya, negara itu diletakkan dalam senarai negara penaja keganasan dikeluarkan Washington kerana hubungannya dengan militan Islam.

Pengasas Al-Qaeda Osama bin Laden tinggal di Sudan antara 1992 hingga 1996.

Rejim Bashir diganti dengan majlis tentera 10 ahli.

Penunjuk perasaan daripada Pakatan Kebebasan dan Perubahan mahukan ia diganti dengan majlis campuran, tetapi jeneral tidak serius menyerahkan kuasa kepada orang awam.

Pengumuman pembentukan majlis bersama awam-tentera dibuat pada Sabtu dan dilihat peluang untuk rundingan terperinci untuk pembentukan kerajaan awam.

Pakatan untuk Perubahan dan Kebebasan juga bertegas yang transisi pentadbiran perlu melibatkan wakil pasukan bersenjata yang menghabiskan masa bertahun berjuang membebaskan Khartoum, tetapi tidak menamakan kumpulan tertentu.

Pemberontak bersenjata menakluk kawasan barat Darfur pada 2002, menyebabkan perang antara puak yang dilaporkan PBB membunuh 300,000 orang dan menuduh Bashir melakukan genosid.

Konflik lain di negeri selantan Blue Nile dan selatan Kordofan juga membunuh ribuan orang.

Penunjuk perasaan menerima sokongan kerajaan Barat untuk tuntutan pemerintahan awam mereka.

Tetapi negara teluk Arab menyokong majlis tentera dan memberikan AS$3 bilion untuk menyokong “transisi teratur”. – AFP, 3 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen