4 aktivis wanita Arab Saudi dapat pembebasan bersyarat


11 aktivis hak wanita ditahan sejak musim panas tahun lepas, tujuh daripada mereka dibebaskan dengan syarat sementara menanti perbicaraan. – Gambar AFP, 3 Mei, 2019.

ARAB Saudi semalam membebaskan sekurang-kurangnya empat lagi aktivis hak wanita sementara menunggu perbicaraan, kata aktivis, membawa pembebasan bersyarat kepada tujuh orang setakat ini.

Mereka adalah antara 11 aktivis - ada antara mereka yang berdepan gangguan dan seksaan seksual ketika ditahan- yang menanti perbicaraan kerana pelbagai kesalahan termasuklah kerana berhubungan dengan media, diplomat dan kumpulan hak asasi manusia asing.

“Hatoon al-Fassi, Amal al-Harbi, Maysaa al-Manea dan Abeer Namankani dibebaskan sementara,” kata kumpulan hak asasi ALQST berpangkalan di London menerusi Twitter.

Seorang peguam Saudi yang ada akses kepada perbicaraan di mahkamah jenayah Riyadh mengesahkan pembebasan empat aktivis tersebut.

Prisoners of Conscience, sebuah kumpulan Saudi yang memperjuangkan hak tahanan politik dilaporkan berkata seorang lagi wanita, pelajar universiti Shadan al-Anezi juga dibebaskan dengan syarat.

Keluarga dua lagi wanita pula dipanggil mahkamah dalam keadaan tergesa-gesa, mencetuskan harapan mereka akan dibebaskan tetapi diarah pulang tanpa penjelasan, seorang lagi aktivis memberitahu AFP.

Masih tiada kenyataan dikeluarkan pihak berkuasa Saudi.

Tiga lagi wanita dalam perbicaraan itu- aktivis Aziza al-Yousef, penulis blog Eman al-Nafjan dan pendakwah Rokaya al-Mohareb- diberikan pembebasan sementara Mac lalu.

Riyadh menerima tekanan kerajaan Barat untuk membebaskan wanita terbabit, kebanyakan mereka ditahan pada musim panas tahun lepas dalam operasi besar-besaran menindas aktivis wanita sebelum Arab Saudi membatalkan larangan mengharamkan wanita memandu.

Tetapi bulan lepas, Arab Saudi melancarkan operasi besar-besaran tahanan terbaru yang menggemparkan negara itu.

Pihak berkuasa menahan sekurang-kurangnya sembilan penulis dan ahli akademik, termasuk dua warga AS, dalam operasi yang dilihat untuk menghapuskan kumpulan penyokong aktivis wanita yang ditahan sebelum ini.

Anak lelaki salah seorang aktivis yang dibebaskan Aziza, Salah al-Haidar adalah salah seorang warga Amerika yang ditahan.

Ia merupakan operasi tahanan pertama dilakukan sejak pembunuhan kejam wartawan Jamal Khashoggi di konsulat Saudi Oktober lalu, yang mencetuskan kecaman antarabangsa terhadap negara yang mempunyai rekod hak asasi terburuk itu.

Adik beradik aktivis Loujain al-Hathloul-salah seorang aktivis ternama yang masih belum dibebaskan- berkata mereka menerima tekanan daripada “orang yang ada hubungan dengan negara” untuk berdiam diri mengenai layanan tahanan ke atasnya.

Hathloul adalah antara wanita yang mendakwa didera dan diganggu secara seksual dalam tahanan.

Dalam perbicaraan yang bermula Mac lalu, ada tahanan yang menangis menceritakan mereka dikenakan kejutan elektrik, disebat dan diraba ketika dalam tahanan, kata dua orang yang ada akses kepada perbicaraan kepada AFP.

Pendakwa raya Saudi menafikan dakwaan itu dalam mahkamah.

Pegawai Saudi berulang kali menuduh wanita terbabit mempunyai hubungan dengan agensi perisikan asing, manakala media dalam negara melabelkan mereka sebagai pengkhianat dan “ejen kedutaan”.

Tetapi, kertas pendakwaan ke atas mereka tidak menyebut tentang hubungan risikan asing, kata aktivis yang melihatnya.

Tidak dapat dipastikan bilakah perbicaraan kes berprofil tinggi itu- yang tidak membenarkan diplomat dan wartawan Barat hadir- akan disambung. – AFP, 3 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen