Semuanya ditentukan kewangan, kata menteri kesihatan


Diyana Ibrahim

Dana kewangan terhad untuk pelaburan kemudahan kesihatan menyebabkan ramai graduan perubatan masih tidak mendapat penempatan latihan, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mei, 2019.

RAMAI graduan perubatan masih sukar mendapat penempatan latihan kerana kurang dana untuk melabur dalam kemudahan kesihatan, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefy Ahmad.

Menteri itu tidak menolak pandangan bahawa kerajaan sememangnya mempunyai dana terhad untuk menambah kemudahan penempatan latihan bagi graduan perubatan.

“Ini semua ditentukan oleh kewangan. Kalau kita hendak bergerak ke depan kena tambah baik kemudahan dan ia bergantung kepada keupayaan dana,” katanya dalam satu sidang media khas.

Oleh itu kementeriannya pada Jun lalu mengurangkan jumlah graduan dengan melanjutkan tempoh penangguhan ke atas pengenalan program perubatan baharu sehingga 30 April 2021.

Dengan itu, tiada lagi program perubatan baharu diperkenalkan di peringkat ijazah sarjana muda dan tiada penambahan kuota pengambilan pelajar program perubatan.

Namun masih terdapat anggaran 5,000 hingga 6,000 pelajar perubatan dari dalam dan luar negara yang tiada penempatan di hospital latihan.

“Betul kita letak moratorium dalam bidang perubatan, kemasukan kita dah beku sekarang. Tapi masih ada lagi graduan sedia ada,” katanya lagi dalam satu wawancara khas.

Moratorium itu sepatutnya hanya berkuatkuasa selama lima tahun bermula 1 Mei 2011 hingga 30 April 2016 bagi mengatasi lambakan graduan yang masih belum mendapat program penempatan.

Kemudahan kesihatan di Malaysia berdepan kekangan kewangan menyebabkan moratorium pengajian perubatan dilanjutkan sehingga 2021. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mei, 2019.

Beliau berkata kementeriannya turut meningkatkan slot latihan siswazah daripada 10,835 kepada 11,706 melalui tambahan Hospital Latihan Siswazah.

Jumlah hospital latihan siswazah itu sudahpun ditambah kepada 47 buah sejak 2002, katanya lagi dalam sidang media khas sempena ulang tahun pertama pentadbiran kerajaan Pakaan Harapan.

Tambahnya, antara penyelesaian bagi isu tersebut adalah pelaksanaan program klinik maya (virtual), yang merupakan salah satu pembaharuan dalam industri kesihatan negara.

“Kita kena fikir fikir secara kreatif dan inovatif untuk beri mereka peluang bekerja.

“Sebab itu perkhidmatan swasta kena buka peluang sektor awam juga perlu bertukar ke di klinik maya, dan sektor awam juga perlu tukar.

“Kita sudah tahu kenapa cabaran doktor sekarang dan kenapa banyak beralih ke bidang estetik,” katanya lagi.

Dalam Belanjawan 2019, Kementerian Kesihatan menerima tambahan RM2 bilion, berbanding RM27 bilion dalam bajet tahun sebelumnya.

Jumlah itu membentuk hampir 10% daripada keseluruhan jumlah belanjawan namun Dr Dzulkefly berkata ia masih tidak mencapai kadar minimum 6% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar yang ditetapkan untuk negara maju.

Bidang perubatan Malaysia berdepan pelbagai kekangan disebabkan perancangan tidak menyeluruh sebelum ini sehingga mendatangkan kesukaran kepada graduan perubatan dan dasar kesihatan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mei, 2019.

“Disebabkan keadaan kewangan sekarang, kita tidak dapat memenuhi kadar bagi negara maju, jadi peruntukan itu tidak memadai,” katanya lagi.

Pada Mac, Dzulkefly mengumumkan pembentukan Majlis Penasihat Kesihatan yang dibentuk oleh tujuh orang pakar dari sektor awam dan swasta.

Majlis tersebut ditugaskan untuk menasihatkan Kementerian Kesihatan dalam usaha memantapkan penyampaian kesihatan dengan tumpuan kepada kerjasama awam-swasta dan pembangunan sumber manusia.

Majlis tersebut akan mengemukakan cadangan berhubung isu berkaitan menjelang suku ketiga tahun ini, kata Dzulkefly.

“Kita harap mereka akan dapat menyediakan bimbingan yang dapat meningkatkan hubungan di antara sektor awam dan swasta dari segala segi,” katanya.

Tambahnya, beliau juga berharap dapat menangani ketidakseimbangan di antara sektor awam dan swasta, dari segi caj bayaran dan juga perkhidmatan.

“Sebagai contoh, kita ada 40% tenaga kerja dalam sektor swasta yang menangani 60% daripada semua kes, dan 60% tenaga kerja swasta menangani 40% daripada kes ini,” katanya.

Oleh itu, ia menunjukkan bahawa beban kerja bagi kedua-dua sektor ini tidak sepadan, katanya lagi.

“Saya berdepan dengan masalah untuk mengimbanginya,” kata beliau. – 3 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen