NGO baharu bela peneroka ganti Anak, kata Pemuda Umno


Diyana Ibrahim

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata kini tidak satu pun NGO yang membela nasib peneroka dan pekebun yang berdepan dengan krisis pendapatan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 2 Mei, 2019.

PEMUDA Umno mahu mengambil alih peranan menjuarai isu peneroka dan pekebun kecil kerana mendakwa NGO Pakatan Harapan (PH) gagal menjalankan tugas itu.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata usaha berkenaan akan dijalankan Jawatankuasa Pembela Kebajikan Peneroka dan Pekebun Kecil (Pembela).

Ia bagi menggantikan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) yang menurutnya sudah tidak lagi memainkan peranan.

“Tak tahu Anak ke mana selepas Mazlan Aliman (pengerusinya) dapat jawatan selesa ke dia dah bubarkan Anak,” kata Asyraf dalam satu sidang media di Kuala Lumpur.

Mazlan merupakan antara pemimpin parti Amanah yang dilantik ke jawatan dalam agensi berkaitan pertanian dan industri asas tani.

Anggota majlis tertinggi Amanah itu dilantik sebagai pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang baharu pada Oktober lalu.

Mengulas lanjut, Asyraf mendakwa kini tidak satu pun badan bukan kerajaan (NGO) yang membela nasib peneroka dan pekebun yang berdepan dengan krisis pendapatan.

“Sepatutnya kalau Anak ini berfungsi, Pemuda Umno akan sokong,” dakwanya.

Bekas menteri itu juga berkata, NGO Pembela tidak akan sama sekali menghasut peneroka membenci kerajaan seperti yang didakwanya diamalkan Anak.

Tambahnya, Umno tidak perlu berbuat demikian kerana parti itu masih mendapat sokongan di Felda.

“Secara umum kita tak kalah di Felda bukan sokong siapa tapi isu rakyat Malaysia sepatutnya PH sebagai kerajaan bertanggungjawab kena jaga semua rakyat.

“Tak kira lah Felda ini merupakan kubu kuat BN, mereka tetap rakyat.”

NGO berkenaan muncul selepas kerajaan membentangkan Kertas Putih Felda yang antara lain mendedahkan salah urus dan masalah petadbiran agensi itu bawah BN.

Ia antara lain mendapat, hutang ditanggung Felda melonjak 1,100% kepada RM14.4 bilion pada 2017, berbanding hanya RM14.4 bilion pada 2017.

Namun menurut Asyraf, pelan pemulihan Felda itu bukan perkara baru kerana idea asalnya adalah daripada BN ketika Shahrir Samad mengambil alih menjadi pengerusi Felda.

“Isu (tangani) tadbir urus lemah sudah dimulakan Shahrir sebab itu tidak ada perkara baru. Pendakwaan salah laku pun kerajaan telah mula sebelum PH ambil alih,” dakwanya.

Katanya, Pembela juga akan menghantar memorandum kepada kerajaan dan mengguna media sosial untuk mengetengahkan isu kebajian peneroka dan pekebun kecil.

Dalam sidang media sama, beliau juga berkata Pemuda Umno menjangka sekurang-kurang 2,000 orang akan hadir menyertai perhimpunan pro-Melayu, Himpunan Rakyat Pertahan Kedaulatan Islam pada Sabtu. – 2 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen