PRESIDEN Venezuela Nicolas Maduro berkata, kerajaannya bersedia memperkenalkan pelan pembaharuan di tengah-tengah krisis politik dan ekonomi membelenggu negara Amerika Selatan itu, lapor agensi baru Sputnik.
“Pada 4 dan 5 Mei saya akan mengadakan dialog terbuka bagi membolehkan semua cawangan pihak berkuasa awam memberikan idea dan cadangan apakah yang perlu dilakukan kerajaan untuk membetulkan keadaan.
“Saya ingin memperkenalkan pelan pembaharuan untuk mengubah dan memperbaiki segala kesilapan,” kata Maduro kepada penyokongnya pada perhimpunan sempena Hari Pekerja di Caracas.
Pada Selasa, pihak pembangkang Venezuela diketuai Juan Guaido, sekali lagi melancarkan gerakan untuk menyingkirkan Maduro dengan mengadakan demonstrasi di hadapan pangkalan tentera La Carlota.
Sebagai tindak balas, Maduro berkata beliau tidak gentar kerana semua komander di wilayah dan zon pertahanan telah berikrar taat setia kepada rakyat, perlembagaan dan negara. – Bernama, 2 Mei, 2019.
Komen