HAMPIR 800,000 penduduk di pantai timur India dipindahkan sebelum ribut siklon kuat dengan kelajuan 200 kilometer sejam dan hujan lebat tiba esok.
Laporan kaji cuaca India berkata, ribut siklon teruk Fani dijangka melanda petang Jumaat di negeri Odisha yang mempunyai jumlah penduduk lebih 100 juta orang.
Difahamkan seramai 780,000 orang telah dipindahkan tempat lebih selamat semalam dari sekurang-kurangnya 13 daerah Odisha.
Pesuruhjaya Bantuan Khas Odisha Bishnupada Sethi berkata, pihaknya menjangkakan lebih sejuta orang keluar dari zon bahaya itu dalam tempoh 12 jam akan datang
Sebanyak 3,000 tempat perlindungan di sekolah dan bangunan kerajaan dibuka untuk menampung lebih sejuta orang.
Lebih 100,000 paket makanan kering juga sudah bersedia untuk diedarkan sekiranya diperlukan.
Pelancong turut dinasihatkan supaya meninggalkan kawasan kuil pesisir pantai di Puri yang menjadi destinasi suci untuk pengunjung ibadat Hindu.
Musim siklon India biasanya berlangsung antara April hingga Disember di mana banyak ribut kuat membawa kepada pemindahan puluhan ribu penduduk, banyak kematian dan kerosakan terhadap tanaman atau harta.
Dua dekad lalu, satu siklon super melanda pesisir Odisha selama 30 jam mengakibatkan 10,000 orang maut.
Pada 2013, hampir sejuta penduduk dipindahkan dan usaha itu berjaya menyelamatkan ribuan nyawa.
Kekuatan siklon Fani disamakan dengan taufan dalam kategori tiga hingga empat.
Ia ribut kuat keempat yang melanda pantai timur India dalam tempoh 30 tahun. – AFP, 2 Mei, 2019.
Komen