Lanjut didikan larangan merokok bukan 'U-turn', kata menteri


Diyana Ibrahim

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tindakan melanjutkan tempoh pendidikan bagi larangan merokok di tempat awam tidak bermaksud kerajaan berpatah balik dari tujuan asalnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mei, 2019.

TINDAKAN melanjutkan tempoh pendidikan bagi larangan merokok di tempat awam tidak bermaksud kerajaan berpatah balik dari tujuan asalnya, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Dzulkefly berkata penguatkuasaan denda itu hanya ditangguhkan buat sementara waktu dan keputusan tersebut disokong penuh oleh Kabinet. 

“Undang-undang ini bukan pusingan U, (kita) tidak akan buat pusingan u.

“Saya tangguhkan sebentar bukan makna kita duduk (seat back) dan tenang tapi kita terus beri kesedaran, walau tak laksana penguatkuasaan denda (sekarang) tapi dalam masa enam bulan.

“Apaila kita betul-betul nak laksanakan dasar ini tidak akan ada pertikaian lagi sebab kita dah beri masa yang cukup,” katanya dalam sidang media khas di Putrajaya.

Pada masa sama menteri itu menafikan larangan tersebut dibuat secara tergesa-gesa sehingga menyebabkan tempoh undang-undang itu dilanjutkan.

Beliau berkata undang-undang itu sebenarnya telah memperlihatkan impak positif dalam bilangan perokok berdaftar berhenti merokok.

Tambahnya, ia dapat dilihat apabila semakin ramai perokok mendaftar untuk berhenti merokok seperti yang dipaparkan dalam laman web jomquit.moh.gov.my.

Katanya bermula Januari hingga April 2019 sebanyak 580 orang berdaftar berbanding purata 428 orang pada tahun lepas.

“Kita lihat respons pada usaha yang paling mencabar ini. Kita kena ingat nak mengubah sikap bukan perkara senang tapi ketika ini kita menyaksikan penerimaan positif,” katanya.

Kementerian Kesihatan pada 25 April lalu mengumumkan tempoh penguatkuasaan pendidikan bagi larangan merokok tempat makan dilanjutkan sehingga akhir tahun ini

Tempoh pendidikan larangan merokok di kedai makanan dan restoran itu pada awalnya diumumkan selama enam bulan sahaja sehingga Julai ini.

Pada masa itu, kementerian turut menetapkan syarat membenarkan merokok di kawasan tiga meter atau 10 kaki dari kedai makan dan restoran terbuka.

Dzulkefly berkata larangan itu perlu dilaksana memandangkan kos bagi rawatan pesakit akibat merokok jauh lebih tinggi  (RM16 billion) daripada cukai yang dikutip daripada industri rokok.

Larangan tersebut menerima kritikan meluas termasuk Ahli Jawatankuasa Eksekutif DAP Ronnie Liu yang berpendapat ia akan menyebabkan rakyat menolak kepimpinan PH. 

Larangan tersebut juga dicabar di mahkamah tinggi oleh tujuh individu yang membentuk pertubuhan hak merokok, Pro-Team Pertahankan Hak Perokok.

Mengulas lebih lanjut, Dzulkefly berkata, tidak adil jika beliau hanya dinilai atas hasrat melaksanakan larangan tersebut yang merupakan sebahagian daripada reformasi industri kesihatan.

“Tidak adil untuk saya, apa yang kita nak ubah larangan rokok cuma sebahagian kecil dari pelaksanaan kesihatan negara.

“Saya bukan hendak menentang atau memulakan perang dengan perokok. Cuma tak mahu jejaskan kesihatan kanak-kanak, orang tua wanita hamil mereka makan di luar jadi ada risiko terdedah dengan asap rokok,” katanya lagi. – 2 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen