Polis mahu sokongan PM kekang peranan IPCMC


Alfian Z.M. Tahir

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata anggota polis menolak cadangan untuk IPCMC bertanggungjawab dalam isu disiplin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 2 Mei, 2019.

POLIS kanan menolak cadangan supaya Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bertanggungjawab terhadap isu disiplin membabitkan anggota polis, kata ketua polis negara yang bakal bersara.

Mohamad Fuzi Harun berkata cadangan itu ditolak oleh polis yang masih bertugas dan pesara polis pada satu mesyuarat baru-baru ini.

Polis mendaftarkan bantahan mereka menerusi satu memo kepada Pejabat Perdana Menteri.

“Isu itu mendapat perhatian daripada anggota yang masih bertugas dan pesara. Ramai yang tidak bersetuju dengan sebahagian cadangan itu termasuk membenarkan IPCMC bertanggungjawab terhadap isu disiplin.

“Malah kami sudah menghantar surat berkenaan perkara ini kepada kerajaan,” katanya.

Fuzi berkata dalam mesyuarat itu turut diputuskan bahawa jawatankuasa itu akan mengadakan pertemuan dengan perdana menteri untuk membincangkan perkara itu lebih lanjut.

Fuzi sebelum ini berkata polis tidak membantah penubuhan IPCMC tetapi berpendapat ada beberapa perkara yang perlu terlebih dulu ditangani oleh kerajaan.

Pembentukan IPCMC asalnya adalah antara 125 cadangan dalam Laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2005.

Ia bagaimanapun tidak dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional kerana mendapat bantahan daripada pimpinan PDRM yang beranggapan badan itu meremehkan pasukan polis.

Bekas ketua polis negara Bakri Omar dan Musa Hassan ketika itu berpendirian pihak polis sudah ada jabatan untuk menangani aduan terhadap pegawai dan anggotanya.

Penubuhan IPCMC adalah antara janji Pakatan Harapan dalam manifestonya untuk pilihan raya umum 9 Mei lalu. – 2 Mei, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen