Golongan elit perlu prihatin kebimbangan majoriti, kata Anwar


Nabihah Hamid

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata golongan elit perlu prihatin dan mewakili kebimbangan rakyat majoriti untuk memastikan prinsip demokrasi ditegakkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mei, 2019.

GOLONGAN elit perlu prihatin dan mewakili kebimbangan rakyat majoriti untuk memastikan prinsip demokrasi ditegakkan, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata sikap tersebut akan membezakan demokrasi di Malaysia dengan amalan di negara barat.

“Idea demokrasi tidak memilih golongan elit (tetapi) golongan elit mesti mewakili kebimbangan majoriti.

“Elit mestilah relevan dengan pengiktirafan masyarakat kita. Ini akan menjadikan kita berbeza mengenai pemahaman demokrasi sebagaimana yang dilakukan di negara barat,” katanya.

Anwar mengulangi pendirian tersebut, yang disebutnya minggu lalu bagi menjelaskan kemerosotan sokongan kaum Melayu terhadap Pakatan Harapan (PH) pada waktu ini.

Beliau berkata ia disebabkan PH “tunduk” pada golongan elit bandar yang lebih mengutamakan pada reformasi institusi, hak asasi manusia, kebebasan kehakiman, kebebasan media dan statut antarabangsa.

Menurutnya, golongan elit bandar ini disifatkannya sebagai “Bangsar bubble” yang hidup senang dan terpisah daripada kesusahan dialami golongan Melayu luar bandar.

Tuntutan dari “elit bandar” ini juga meminggirkan keperluan dan kehendak masyarakat luar bandar yang majoritinya terdiri daripada orang Melayu – kumpulan pengundi terbesar Malaysia.

Kenyataan itu muncul selepas firma kajian Merdeka Centre mendedahkan sokongan ke atas Pakatan Harapan menjunam, setahun selepas merampas Putrajaya.

Dalam ucapannya kepada sekumpulan belia di Kuala Lumpur hari ini, Anwar seterusnya menyeru golongan elit supaya menjadi sebahagian daripada usaha mengubah demokrasi.

“Adakah anda mempunyai demokrasi? Sememangnya kita bebas bercakap. Kita bebas bercakap tetapi kita tidak bebas selepas kita bercakap. Itu masalah kita.

“Jadi bagaimana anda mahu berinovasi tanpa kebebasan yang menindas dan mengungkapkan visi anda. Bagaimana anda kemudiannya membawa perubahan dan pembaharuan?” kata Anwar.

Beliau berucap di persidangan dua hari‘#Own Your Future’ anjuran Forum Al Sharq di Kuala Lumpur yang dihadiri hampir 1,000 peserta. – 2 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen