PRESIDEN Rusia Vladimir Putin semalam meluluskan rang undang-undang (RUU) berkaitan penyediaan operasi sistem Internet negara yang stabil jika berlaku pemutusan daripada rangkaian infrastruktur global, lapor agensi berita China Xinhua memetik portal maklumat perundangan rasmi Rusia.
Menurut portal itu, badan pemantau telekomunikasi Rusia Roskomnadzor berhak melaksanakan “operasi berpusat rangkaian komunikasi umum” jika terdapat risiko terhadap operasi Internet Rusia.
Langkah itu termasuk memasang satu sistem kebangsaan bagi laluan trafik Internet menerusi pelayan dalam negara dan mencegah ancaman luar daripada memutuskan bahagian Rusia dalam rangkaian global.
Perundangan itu mencetuskan kontroversi kerana kebanyakan pengguna rangkaian sosial Rusia mempunyai persepsi bahawa ia bertujuan untuk mengasingkan Internet Rusia.
Sebagai respons, Perdana Menteri Rusia Dmitry Medvedev berkata sebelum ini negara itu tidak mempunyai rancangan untuk mengasingkan Internet namun ia perlu bersedia berdepan kemungkinan berlaku pemutusan daripada rangkaian global dan melindungi kepentingan pengguna. – Bernama, 2 Mei, 2019.
Komen