1,409 juruterbang mogok, SAS batal 4,000 penerbangan


Berpuluh ribu penumpang terkandas di lapangan terbang negara Scandinavia selepas syarikat penerbangan SAS terpaksa membatalkan penerbangan susulan juruterbang mogok. – Gambar EPA, 2 Mei, 2019.

RUNDINGAN bersambung semula antara syarikat penerbangan Scandinavia SAS dengan juruterbangnya yang melancarkan mogok, kata pengantara, ketika ratusan lagi penerbangan terpaksa dibatalkan dan menjejaskan 380,000 penumpang.

Ini kali pertama kedua-dua pihak berbincang sejak juruterbang SAS enggan bekerja di Sweden, Denmark dan Norway pada Jumaat lalu, mendesak gaji lebih baik dan beberapa syarat, walaupun mereka akan bertemu sebelum mogok.

“Perbincangan sedang berlangsung di Oslo, membabitkan tiga negara,” kata jurucakap Pejabat Pengantara Negara Sweden Jan Sjolin.

Walaupun rundingan bersambung semula, SAS masih membatalkan penerbangan yang sudah dijadualkan pada hari ini.

Semalam, syarikat penerbangan itu mengumumkan ia membatalkan 280 penerbangan sehingga 2 petang ini, menjejaskan 20,000 penumpang.

Tetapi tidak lama selepas 10 malam semalam, dengan rundingan masih berjalan di Oslo, SAS mengumumkan ia membatalkan 429 lagi penerbangan, membabitkan 34,590 penumpang.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan penerbangan dibatalkan ialah lebih 4,000 sejak 1,409 juruterbang enggan bertugas bagi semua penerbangan domestik, ke Eropah dan perjalanan jarak jauh bagi pesawat SAS. – AFP, 2 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen