PBB beri amaran kepada pihak berkuasa Venezuela


Tunjuk perasaan yang masuk hari kedua dilancarkan pemimpin pembangkang Juan Guaido semalam untuk meningkatkan tekanan terhadap Presiden Venezuela Nicolas Maduro. – Gambar AFP, 2 Mei, 2019.

PESURUHJAYA Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam memberi amaran kepada pihak berkuasa Venezuela supaya tidak mengenakan tindakan keras berlebihan ke atas penunjuk perasaan dan menggesa semua pihak menolak keganasan. 

Jurucakap Pejabat Hak Asasi Manusia PBB Marta Hurtado dalam satu kenyataan berkata PBB sangat bimbang dengan laporan mengenai kekerasan oleh pasukan keselamatan ke atas penunjuk perasaan yang didakwa mendatangkan kecederaan.

“Ramai juga dilaporkan ditahan,” katanya.

Presiden Venezuela Nicolas Maduro pada Selasa berkata beliau telah menghentikan “cubaan rampasan kuasa” oleh pembangkang selepas ribuan penunjuk perasaan memenuhi jalanan sehingga menyebabkan rusuhan dengan pasukan keselamatan.

Lebih banyak tunjuk perasaan yang masuk hari kedua dilancarkan pemimpin pembangkang Juan Guaido semalam untuk meningkatkan tekanan terhadap Maduro. 

“Kami menyeru semua pihak bertenang dan pihak berkuasa menghormati hak untuk berhimpun secara aman.

“Kami juga mahu memberi amaran mengenai penggunaan bahasa yang menghasut orang kepada keganasan,” tambah Hurtado. – AFP, 2 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen