9 nama suspek serangan bom Sri Lanka didedah


Polis Sri Lanka semalam mendedahkan sembilan suspek kejadian pengeboman pada Hari Easter yang meragut 253 nyawa. – Gambar EPA, 2 Mei, 2019.

POLIS Sri Lanka semalam mendedahkan sembilan suspek kejadian pengeboman pada Hari Easter yang meragut 253 nyawa.

Jurucakap polis, Ruwan Gunasekera berkata aset mereka juga akan dirampas mengikut undang-undang anti keganasan.

Selain itu, Gunasekera mengesahkan dua buah hotel mewah yang terbabit dalam serangan tersebut dibom oleh dua beradik dari keluarga kaya Colombo yang terlibat dalam perniagaan rempah.

Kumpulan militan Islam meletakkan bom di setiap lokasi sasaran pada Ahad, 21 April lalu kecuali di Hotel Shangri-La di mana ia diletupkan pengebom bunuh diri.

Salah seorang pengebom, adalah Zahran Hashim, iaitu ketua kumpulan militan tempatan yang bertanggungjawab ke atas serangan yang didakwa dilakukan oleh kumpulan militan Daesh.

Zahrah ketua Thowheeth Jama’ath Nasional (NTJ) yang telah diharamkan. Dia mengebom Hotel Shangri-La bersama rakannya, Ilham Ahmed Mohamed Ibrahim.

Abang Ilham, Inshaf Ahmed mengebom hotel berdekatan, Hotel Cinnamon Grand.

Hotel ketiga, Hotel Kingsbury, dibom oleh suspek bernama Mohamed Azzam Mubarak Mohamed. Gunasekara berkata isterinya kini dalam tahanan polis. – AFP, 2 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen