Penduduk Taman Tiara Titiwangsa kecewa DBKL rayu keputusan mahkamah


Noel Achariam

Apa yang penduduk mahukan adalah DBKL telus memberi maklumat mengenai projek membina tiga blok kondominium 52 tingkat di atas kawasan seluas 7.6 ekar (3.04 hektar), yang menurut mereka tidak pernah diberi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 2 Mei, 2019.

PENDUDUK Taman Tiara Titiwangsa sedia melawan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana tidak bersikap telus dan gagal melaksanan tanggungjawab sebagai penjaga orang awam.

Mereka kecewa dengan tindakan pihak berkuasa tempatan itu untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan bahawa pendengaran awam DBKL berkenaan cadangan membina kondominium mewah di kawasan tersebut tidak sah dan terbatal.

Apa yang penduduk mahukan adalah DBKL telus memberi maklumat mengenai projek membina tiga blok kondominium 52 tingkat di atas kawasan seluas 7.6 ekar (3.04 hektar), yang menurut mereka tidak pernah diberi.

Jurucakap Taman Tiara Titiwangsa, Sylvester Navaratnam berkata tindakan DBKL yang tidak mendedahkan maklumat kepada orang awam itu tidak masuk akal.

“Kami ada hak untuk dapat maklumat yang betul mengenai projek yang dicadangkan sebelum bantahan boleh dibuat.

“Mereka tidak telus, sebab itu kami kami heret mereka ke mahkamah. Mereka adalah penjaga dan mereka sepatutnya memenuhi harapan orang awam,” beliau memberitahu The Malaysian Insight.

Penduduk membawa kes ini ke mahkamah pada Mei 2017 ekoran kegagalan DBKL memberi laporan Penilaian Kesan Lalulintas (TIA), Penilaian Impak Sosial (SIA) dan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi projek milik Yayasan Wilayah Persekutuan itu.

Pada 13 Mac lalu, Mahkamah Rayuan membatalkan pendengaran awam oleh DBKL atas alasan bahawa ia tidak mengikut Peraturan 5, iaitu melibatkan orang awam dalam kawalan perancangan dan pembangunan kerajaan.

Pembatalan itu bermakna projek itu akan tergantung.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata DBKL berhak untuk merayu keputusan mahkamah.

Ini bagaimanapun mengecewakan penduduk kata Navaratnam kerana mereka tidak menyangka kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan akan meneruskan rayuan. Mereka pada asalnya menyangka kerajaan akan mengambil pendekatan untuk memahami kegusaran mereka.

Susulan rayuan tersebut, Mahkamah Persekutuan kini perlu memutuskan sama ada DBKL harus mendedahkan ketiga-tiga laporan seperti yang dikehendaki penduduk Taman Tiara Titiwangsa supaya bantahan terhadap projek itu dapat dilaksanakan. – 2 Mei, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen