RM6 bilion peruntukan untuk rumah PPR dalam Bajet 2018


Diyana Ibrahim

Perdana Menteri Najib Razak berkata ada yang kata dapat rumah PPR seperti menang loteri, ketika berucap merasmikan program Penyerahan Kunci PPR Sri Aman di Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 18 September, 2017.

PUTRAJAYA akan memperuntukkan RM6 bilion dalam Bajet 2018 untuk membina dan menyelenggarakan Program Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara.

Bajet 2018 dijadualkan untuk dibentangkan di Dewan Rakyat pada 27 Oktober depan.

Perdana Menteri Najib Razak berkata dengan subsidi yang diberikan kerajaan membolehkan rumah PPR dapat dijual dengan harga lebih rendah berbanding nilai pasaran.

Beliau berkata sebagai contoh harga pasaran seunit PPR di Sri Aman di Jinjang, Kepong boleh mencecah RM200,000 tetapi kerajaan meletakkan harga RM35,000.

“Ada orang beritahu saya dapat rumah PPR macam menang loteri.

“Ini beri kelegaan dan sungguh bermakna bagi mereka yang bertuah dapat rumah PPR,” katanya ketika merasmikan program Penyerahan Kunci PPR Sri Aman dan Pelancaran Perumahan Transit Kuala Lumpur, hari ini.

Najib berkata setakat ini 83,759 unit PPR berjaya disiapkan.

Sementara itu, Menteri Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan Noh Omar berkata pembinaan PPR Sri Aman membabitkan 1,600 unit dengan kos keseluruhan RM216.819 juta.

Katanya, buat pertama kalinya ruang pengurusan jenazah bagi bukan Islam disediakan di PPR Sri Aman, yang terletak di Jinjang Kepong di kawasan majoriti bukan Islam. – 18 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen