Mahkamah khas syariah ditubuh kendali kes nafkah, hadhanah 


Sheridan Mahavera

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, terlalu banyak aduan yang diterima berhubung masalah bekas isteri yang tidak mendapat bayaran nafkah dari bekas suami.– Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mei, 2019

PUTRAJAYA akan menubuhkan mahkamah syariah khas yang mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap suami yang culas membayar nafkah kepada bekas isteri di semua Wilayah Persekutuan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Mujahid Yusof Rawa.

Undang-undang Islam adalah urusan kerajaan negeri dan Putrajaya berharap mahkamah ini akan memberikan contoh kepada negeri lain, tambahnya.

“Akan ada mahkamah khas untuk mendengar kes nafkah dan hadhanah (hak penjagaan anak) kerana kami menerima banyak aduan daripada isteri yang diceraikan dan mereka tidak mendapat hak mereka.

“Terlalu banyak menderita. Inilah caranya untuk mengatasi masalah ini,” kata Mujahid dalam satu wawancara yang diadakan baru-baru ini.

“Mahkamah khas baharu ini akan mempunyai kuasa untuk membekukan aset lelaki yang enggan membayar nafkah,” katanya pada sidang media pencapaian satu tahun kementeriannya sejak Pakatan Harapan berkuasa.

Kumpulan kebajikan Islam sudah lama mengadu mengenai sistem mahkamah syariah yang tidak cekap berikutan pentadbirannya adalah dibawah setiap negeri dan tidak tertakluk kepada satu standard.

Salah satu aduan yang banyak diterima adalah bagaimana mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk membantu wanita Islam yang bercerai menuntut hak nafkah daripada bekas suami. Ini kerana, tidak seperti mahkamah sivil yang akan mendengar kes cerai sivil, mahkamah syariah tiada kuasa untuk memerintahkan suami yang culas ini.

Mujahid berkata, penubuhan mahkamah khas ini adalah sebahagian daripada usaha Putrajaya untuk melaksanakan hal ehwal Islam dan dasar undang-undang syariah yang terbaik di tiga wilayah persekutuan di Malaysia sebagai standard kepada negeri lain.

Buat pertama kalinya di negara ini, peguam syariah beroperasi di wilayah persekutuan juga akan dikenakan peraturan dari segi pelesenan, yuran dan kepakaran, kata Mujahid.

Undang-undang baharu ini dijangka akan dikuat kuasa menjelang hujung tahun ini sebaik sahaja ia diluluskan di sidang Parlimen Julai atau Oktober.

Walaupun kerajaan persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa ke atas pentadbiran Islam di negeri masing-masing, Mujahid berkata Putrajaya akan menetapkan penanda aras yang diharapkan akan diikuti negeri lain.

“Kami akan menjelaskan kepada setiap negeri yang berminat dengan kaedah kami, cara untuk melaksanakan perkara yang sama di peringkat mereka. Kami akan menetapkan standard dan penanda aras supaya orang lain boleh mengikuti,” katanya.

Di bawah rombakan itu, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan juga akan mempunyai kuasa untuk mengawal pusat tahfiz, atau sekolah agama, dan menutup sekolah yang bermasalah.

Kawalan dan pengawasan semua sekolah agama dan tahfiz di wilayah persekutuan akan dapat dilakukan setelah kementerian meluluskan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 2018 di Parlimen baru-baru ini.

“Undang-undang ini tidak ada sebelum ini dan apabila terdapat masalah di sekolah tahfiz kita tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan. Sekarang kita berkuasa untuk berbuat demikian, untuk menutup sekolah tahfiz yang mempunyai banyak masalah.”

Mujahid berkata beliau akan menggunakan mesyuarat tetap kementerian itu dengan pihak berkuasa agama negeri untuk membincangkan dan mempromosikan piawaian-piawaian ini agar ia dapat dilaksanakan di seluruh negara.

“Setiap tiga bulan terdapat pertemuan antara kementerian dan pengerusi semua majlis agama negara yang mana kita bincangkan bagaimana untuk menyelaraskan undang-undang dan amalan kita,” katanya.

Mengekalkan hubungan yang baik dengan Majlis Raja-Raja dan gabenor Melayu juga penting, kerana Putrajaya berusaha untuk mengekalkan hubungan komunikasi terbuka.

“Dalam satu tahun saya telah bertemu hampir semua raja-raja Melayu dan gabenor dan menyatakan hasrat kami untuk meneruskan hubungan kerja yang baik ini,” katanya.– 2 Mei, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen