PEMBANTU kepada pendakwah terkenal Zakir Naik akan dituduh seawal Khamis ini kerana didakwa menghina agama Hindu, kata seorang aktivis hari ini.
Ketika pihak polis masih belum sedia untuk megesahkan secara rasmi bila Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu, 35, akan didakwa, Arun Dorasamy dari Agaman Ani Malaysia yang merupakan sebuah NGO untuk masyarakat Hindu, berkata tindakan mahkamah itu adalah esok.
Arun memberitahu The Malaysian Insight beliau dimaklumkan oleh polis bahawa Muhammad Zamri akan didakwa di kompleks Mahkamah Jalan Duta di Kuala Lumpur.
“Kes itu dikendalikan oleh Bukit Aman dan kami dimaklumkan beliau dijangka akan dibawa ke mahkamah pada Khamis, kata Arun.
Muhammad Zamri ditahan pada Ahad lalu selepas lebih 800 laporan polis dibuat terhadapnya.
Beliau kini disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menggugat keharmonian dan menghantar komunikasi yang menghina.
Muhammad Zamri didakwa menghina agama Hindu ketika menyampaikan ceramah agama. Sebuah organisasi dari Kelantan, Info Sunnah menyebarkan video ucapannya di media sosial.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed ketika dihubungi berkata, polis masih menunggu kebenaran daripada Jabatan Peguam Negara untuk failakn pendakwaan terhadap Zamri.
“Kertas siasatan perlu dihantar ke Jabatan Peguam Negara terlebih dahulu, sekiranya ada kes, beliau akan didakwa,” katanya.
Muhammad Zamri yang juga ketua organisasi dakwah Islam One Centre Malaysia, ditahan di Kangar sebelum dibawa ke Bukit Aman untuk direman selama empat hari.
Tempoh remannya tamat pada Khamis.
Muhammad Zamri sebelum ini dilaporkan pernah disiasat atas tiga kes jenayah, yang mana dua daripadanya adalah kesalahan serius.
Beliau sebelum ini ditahan kerana sengaja mendatangkan kecederaan, rogol dan pecah amanah. – 1 Mei, 2019
Komen