PRESIDEN Rusia Vladimir Putin menandatangani undang-undang baru kerakyatan Rusia yang menyegerakan kelulusan beberapa orang warga Ukraine untuk menjadi rakyat Rusia walaupun wujud kebimbangan ia akan memburukkan lagi krisis di antara dua negara tersebut.
Di bawah dekri yang diterbitkan pada hari Rabu, beberapa kategori warga Ukraine akan memiliki hak untuk proses mudah menukar kerakyatan termasuk mereka yang sudah memiliki permit di Rusia.
Kategori lain termasuk warga Ukraine yang dilahirkan di Crimea tetapi meninggalkan semenanjung itu sebelum Rusia menguasai wilayah tersebut pada bulan Mac, 2014.
Prosedur yang disegerakan itu dilaksanakan bagi melindungi “hak-hak dan kebebasan manusia dan kebebasan sivil”, kata dekri yang ditandatangani Putin pada hari Isnin.
Langkah itu dilaksanakan selepas seorang pelawak yang tidak mempunyai pengalaman politik, Volodymyr Zelensky, memenangi Pilihan Raya Presiden Ukraine bulan lalu.
Kremlin tidak mengucapkan tahniah kepada Zelensky sebaliknya berkata Moscow sedang memikirkan untuk memudahkan rakyat Ukraine mendapatkan kerakyatan Rusia.
Putin menandatangani dekri tersebut pada 24 April lalu yang membenarkan mereka mendiami kawasan timur Ukraine untuk mendapat pasport Rusia dalam masa tiga bulan ia dipohon.
Presiden Zelensky, sebagai tindak balas, berjanji untuk memberikan kerakyatan Ukraine kepada warga Rusia yang “menderita” di bawah pemerintahan Kremlin. – AFP, 1 Mei, 2019.
Komen