POLIS New Zealand pada hari Rabu menafikan sebarang kaitan antara bom yang ditemui di Christchurch dengan tragedi ganas di masjid Christchurch yang membunuh 50 pengunjung masjid Mac lalu.
Polis dan skuad bom tentera telah membuat pemeriksaan di pelbagai tempat kosong di kawasan luar bandar itu pada hari Selasa dan menemui sebuah “alat yang disyaki bahan ledakan” dan beberapa buah set peluru.
Mereka berkata seorang lelaki berumur 33 tahun dibawa ke mahkamah Rabu lalu dan didakwa kerana memiliki bahan ledakan, peluru, dan senjata api.
“Kami tidak mencari suspek lain berhubung penemuan tersebut,” kata inspektor Corrie Parnell dalam sebuah kenyataan.
“Tiada kaitan ditemui antara lelaki berusia 33 tahun tersebut dan serangan ganas Christchurch pada 15 Mac lalu.”
Media tempatan menamakan lelaki itu sebagai Jay Michael Harding-Reriti dan mengatakan dia dijatuhkan beberapa pertuduhan termasuk memiliki bahan letupan, dan peranti letupan.
Mereka turut melaporkan dia ditahan sehingga 6 Mei depan dan butiran lanjut mengenai kes tersebut diarahkan polis untuk tidak didedahkan.
Christchurch kekal dalam keadaan berjaga-jaga selepas serangan Mac lalu yang menyaksikan seorang pelampau ketuanan kulit putih menembak secara melulu sehingga menyebabkan kematian 50 orang di samping mencederakan 39 yang lain di dua buah masjid.
Seorang lelaki didakwa susulan serangan ganas itu, Brenton Tarrant, yang merupakan warga Australia berusia 28 tahun. Tarrant kini berada dalam penjara di Auckland dan diperintahkan untuk menjalani ujian psikiatri. – AFP, 1 Mei, 2019.
Komen