PUTRAJAYA terus komited untuk mengadakan semula pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sedang meneliti pelbagai pilihan kaedah pelaksanaan, kata Zuraida Kamaruddin.
Ia akan dilakukan dalam beberapa tahap melibatkan beberapa kawasan di seluruh negara, kata menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu lagi.
Tambahnya, pindaan ke atas akta berkaitan akan dibuat pada akhir 2020 atau awal 2021.
“Ini juga akan melibatkan beberapa akta lain yang akan dibentangkan bersama-sama. Jika kita dapat kelulusan pindaan akta itu segera, kita akan mula bertindak,” katanya pada sidang media baru-baru ini sempena setahun Pakatan Harapan berkuasa.
Cadangan mengadakan semula pilihan raya PBT sebelum ini dikritik Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa ia boleh mencetuskan ketegangan kaum.
Kali terakhir ia diadakan di Malaysia adalah pada 1965.
Zuraida menjelaskan, beliau sudah berbincang dengan Dr Mahathir dan mendapat kelulusan mengadakan pilihan raya PBT dalam tempoh tiga tahun lagi.
“Sebaik sahaja kertas sedia, kami akan cadangkan kepada Kabinet model terbaik untuk diguna pakai,” katanya.
“Salah satu cadangan kami adalah melaksanakannya fasa demi fasa, dan bukan di seluruh negara.
“Mungkin kita mula dengan Dewan Bandaraya (Kuala Lumpur) sebelum bergerak ke negeri lain.
“Kita difahamkan yang Majlis Perbandaran Petaling Jaya bersedia melakukannya kerana mereka ada peruntukan kewangan untuknya,” kata Zuraida lagi. ‘
Jelasnya, kementerian memerlukan masa mencukupi untuk menyempurnakan model pilihan raya PBT serta menjalankan kempen kesedaran orang awam.
“Supaya rakyat akan tahu peranan mereka jika mereka mahu jadi calon.” – 1 Mei, 2019.
Komen