3 remaja maut berswafoto di India


India mencatat kemalangan dan kematian berkaitan swafoto tertinggi dunia. – Gambar AFP, 1 Mei, 2019.

TIGA remaja terbunuh ketika berswafoto di landasan kereta api di India, negara yang dianggap penyelidik mempunyai kematian berkaitan swafoto terbanyak.

Seorang lagi remaja berjaya menyelematkan diri dalam kejadian di bandar Panipat, Haryana itu, kata pegawai polis kepada AFP hari ini.

“Mangsa sibuk berswafoto dan bila mereka nampak kereta api, mereka lompat ke landasan kedua tanpa menyedari sebuah lagi kereta api sedang menghampiri,” kata M S Dabas kepada AFP.

“Seorang lagi terselamat kerana dia melompat ke sebelah lain landasan.”

Kumpulan itu mengunjungi Panipat untuk hadir majlis perkahwinan. Dua daripada yang terbunuh berusia 19 tahun dan yang ketiga berumur 18 tahun.

Penyelidik memberi amaran yang remaja ghairah media sosial mengambil risiko untuk berswafoto unik dan menarik.

Sebuah kajian tahun lepas dikeluarkan All Indian Institute of Medical Sciences berkata 259 orang di seluruh dunia maut ketika berswafoto antara tahun 2011 hingga 2017.

Jumlah kemalangan dan kematian tertinggi dilaporkan di India, diikuti Rusia, Amerika Syarikat dan Pakistan, kata kajian lagi.

Pada 2017, tiga pelajar terbunuh di landasan kereta api di Karnataka, India. Seorang lelaki pula maut di Odisha selepas seekor gajah melilit tengkuknya dan menghempapnya ketika dia cuba berswafoto.

Tahun lepas, Menteri Kereta Api Piyush Goyal menerusi Twitter memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak berswafoto di landasan sehingga membahayakan nyawa mereka. – Bernama, 1 Mei, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen