HARGA rumah mampu milik akan berbeza mengikut kawasan yang ditetapkan berdasarkan pendapatan median keluarga di kawasan tersebut, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.
Zuraida berkata cadangan harga tersebut bermatlamat untuk memastikan lebih ramai golongan berpendapatan rendah termasuklah penduduk luar bandar menerima manfaat daripada projek perumahan awam.
“Kami akan pantau harga rumah mampu milik berdasarkan median pendapatan penduduk kawasan itu.
“Ini akan jadi satu bentuk kawalan, jadi pemaju tidak boleh mengenakan harga lebih daripada kadar mampu milik penduduk kawasan itu,” katanya pada sidang media di Klia2 baru-baru ini.
Awal tahun ini, Zuraida mengumumkan yang kerajaan berhasrat untuk membina 1 juta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Di bawah dasar perumahan kerajaan baharu, wujud tiga kategori perumahan mampu milik; rumah bernilai RM150,000 ke bawah, rumah antara RM150,000 hingga RM300,000 dan rumah berharga antara RM300,000 hingga RM500,000.
Zuraida berkata untuk kawasan Kuala Lumpur, kerajaan akan mempertimbangkan tangga gaji penduduk sebelum meletakkan harga untuk rumah mampu milik.
“Perkara sama akan dibuat untuk negeri lain kerana harga berbeza. Seperti di Kedah, pendapatan purata lebih rendah, jadi harga rumah akan direndahkan mengikut kawasan.
“Tidak akan ada campur tangan dalam soal harga pasaran kerana rumah ini untuk rakyat. Ini bukan projek persendirian,” katanya.
Zuraida berkata pelbagai jenis harga akan digunakan untuk projek baharu tahun ini.
“Harga rumah boleh jadi serendah RM90,000 seperti di kawasan pendalaman Terengganu, Kedah dan Kelantan.
“Maksimum akan naik hingga RM300,000 untuk kawasan tertentu.”
Katanya, pemaju perlu mematuhi skala harga ditetapkan kementerian jika mereka mahu mendapatkan projek tersebut. – 1 Mei, 2019.
Komen